KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said membentangkan Kerangka Akauntabiliti MADANI pada Sesi I Mesyuarat Menteri-Menteri Undang-Undang Komanwel (CLMM) 2026 di Fiji, selaras dengan tema Democratic Resilience atau Ketahanan Demokrasi.
Azalina yang mengetuai delegasi Malaysia berkata pembentangan itu merumuskan langkah proaktif Kerajaan MADANI dalam melaksanakan konsep ketahanan demokrasi melalui agenda reformasi institusi menyeluruh.
“Konsep Ketahanan Demokrasi Pelan CLMM 2025-2030 memfokuskan tiga elemen utama, iaitu pengukuhan institusi yang bebas termasuk badan kehakiman, perundangan, pilihan raya dan pihak berkuasa awam.
"Selain itu, ekosistem maklumat yang dipercayai dan berwibawa khususnya dalam persekitaran digital serta penyertaan rakyat yang bermakna dalam proses demokrasi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Azalina berkata fokus itu seiring dengan Kerangka Akauntabiliti MADANI yang menerapkan nilai-nilai MADANI dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif reformasi institusi.
Antara inisiatif tersebut ialah pengukuhan institusi Parlimen, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan Ombudsman, penggubalan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) serta pemerkasaan perlindungan dalam ruang digital melalui undang-undang keselamatan dalam talian dan antibuli.
Beliau berkata kesemua inisiatif itu dilaksanakan dengan penyertaan rakyat yang bermakna menerusi proses libat urus awam.
Dalam pada itu, Azalina turut menegaskan komitmen utuh Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merealisasikan agenda reformasi dan tatakelola.
"Buktinya, hanya dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI, pelbagai inisiatif signifikan telah pun dilaksanakan. Semua ini demi tadbir urus yang lebih telus, berakauntabiliti dan berdaya tahan demi memperkukuh kepercayaan rakyat dan masa depan negara," katanya.
Mesyuarat CLMM 2026 yang bermula hari ini hingga Khamis (12 Feb) di Nadi, Fiji menghimpunkan kira-kira 150 delegasi termasuk menteri undang-undang serta peguam negara dari 56 negara Komanwel bagi membincangkan isu berkaitan reformasi perundangan, tadbir urus dan ketahanan demokrasi di peringkat global.
Hasil mesyuarat itu dijangka membantu membentuk agenda Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) yang akan diadakan di Antigua and Barbuda, November tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial