AM > BERITA

Negara Harus Diselamatkan Daripada Ancaman Fahaman Perpecahan – Anwar

09/02/2026 01:51 PM

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Negara perlu sentiasa berwaspada dan diselamatkan daripada sebarang ancaman fahaman melampau berasaskan kaum dan agama yang boleh membawa kepada perpecahan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengambil contoh fahaman fasisme, perkauman dan Islamofobia yang semakin ketara di peringkat global terutama di negara barat, Anwar berkata kemunculan fahaman seperti itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia turut merebak dalam kalangan golongan terdidik.

"Jangan kita remehkan, sekarang kebangkitan fahaman fasisme dan perkauman itu kuat di Eropah dan Amerika. Benci minoriti, Islamofobia, benci kaum lain merebak dalam kalangan yang pintar, dalam kalangan terdidik,” kata beliau ketika menyampaikan amanat pada perhimpunan bulanan Kementerian Perpaduan Negara di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata perkara lebih membimbangkan ialah sentimen dan fahaman melampau berkenaan sering disebarkan tanpa sandaran ilmu dan rasional.

Beliau berkata walaupun tanggungjawab mendepani ancaman berkenaan bukan sesuatu yang mudah, cabaran itu perlu dihadapi bagi memastikan keamanan dalam negara sentiasa terpelihara.

Anwar berkata keamanan dan kestabilan negara merupakan asas kepada pembangunan serta kemakmuran ekonomi, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

“Bila negara aman dan stabil, kita (boleh) tumpu ke arah pembangunan negara dan lain-lain," kata beliau.

Beliau berkata keupayaan negara membentuk asas dan dasar ekonomi yang kukuh untuk menarik pelaburan asing saling berkait dengan kestabilan politik.

"Baiki dasar kemudian baru boleh menarik penglibatan pelabur asing, melatih anak-anak supaya ada keterampilan dalam bidang-bidang yang tidak dikuasai sebelumnya. Semua ini harus kita fikirkan,” kata Anwar.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan