AM > BERITA

Tahun Baharu Cina: 294 Anggota RELA Ditugas Kawal Trafik - PLUS

09/02/2026 05:03 PM

TAPAH, 9 Feb (Bernama) -- Sebanyak 294 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan ditempatkan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta plaza tol terpilih bagi memperkukuh kawalan trafik susulan jangkaan lonjakan hingga 2.2 juta kenderaan sehari sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut 17 Feb depan. 

Pengurus Besar Kanan Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata penugasan itu bagi mengelak kesesakan di lokasi tumpuan susulan peningkatan ketara jumlah kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan bermula seawal 12 Feb. 

Beliau berkata antara kawasan dijangka menerima jumlah pengunjung tinggi ialah R&R berskala besar seperti Tapah, Gurun serta kawasan Rehat dan Rawat Sementara (RCS) Seremban.

“Anggota RELA akan ditempatkan di beberapa kawasan R&R dan plaza tol terpilih bagi membantu kelancaran trafik sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya pada sidang media sempena Jelajah Media Wilayah Tengah PLUS di R&R Tapah di sini hari ini.

Selain penempatan anggota RELA, beliau berkata PLUS turut menambah baik kemudahan infrastruktur termasuk tandas, surau dan parkir di beberapa hentian lain bagi mengagihkan aliran pengguna supaya tidak tertumpu di R&R tertentu.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan pengguna merancang perjalanan serta memanfaatkan fasiliti alternatif di luar kawasan R&R, termasuk kemudahan asas yang disediakan berhampiran persimpangan selepas plaza tol.

Mohd Yusuf berkata peningkatan trafik kali ini dipengaruhi sambutan Tahun Baharu Cina yang jatuh pada pertengahan minggu, bersambung cuti sekolah serta awal Ramadan.

PLUS menjangkakan aliran keluar dari Lembah Klang memuncak pada 12 hingga 14 Feb manakala perjalanan pulang dijangka pada 20 dan 21 Feb.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan