AM > BERITA

PM Anwar Mahu Pelaksanaan Agenda Digital, AI Negara Dipercepat

09/02/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu setiap kementerian dan agensi mempertingkat serta mempercepatkan pelaksanaan keputusan yang dipersetujui bagi memastikan agenda digital dan kecerdasan buatan (AI) negara digerakkan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

Perdana Menteri menegaskan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil. 1/2026 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata antara keutamaan yang dibincangkan ialah persiapan pelancaran Malaysia Digital 2030 (MD2030) pada April 2026 sebagai pemacu utama pelaksanaan agenda digital dan AI, selaras hasrat menjadikan Malaysia sebuah Negara AI menjelang 2030.

“Mesyuarat turut menekankan usaha memperhebat pendaftaran MyDigital ID, khususnya bagi aplikasi-aplikasi kerajaan, di samping mewajibkan integrasi sistem baharu serta penyepaduan sistem sedia ada bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan keperluan rakyat.

“Turut menjadi agenda adalah pembentangan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Digital berkaitan Government Innovation Initiative (GII) yang berpotensi memberi impak besar kepada penambahbaikan sistem kesihatan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan turut mengambil maklum input daripada Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) yang menekankan pembangunan dasar AI berasaskan bakat tempatan merangkumi pelbagai sektor, selain memastikan peluang penyertaan inklusif kepada semua peringkat umur.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan