AM > BERITA

Kebenaran Merancang Perlu Untuk Bina Rumah Ibadat - Nga

09/02/2026 08:27 PM

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Semua pihak yang ingin melaksanakan pembinaan rumah ibadat perlu mengemukakan permohonan kebenaran merancang (KM) kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata pihaknya mengamalkan polisi terbuka dalam perkara membabitkan pembinaan rumah ibadat di seluruh negara dan bersedia berjumpa dengan jawatankuasa rumah ibadat berkenaan. 

“Saya harap permohonan untuk pembangunan rumah ibadat termasuk mana-mana gereja, masjid, kuil atau surau, tolong mohon KM... kita akan luluskan ikut peraturan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026 di sini hari ini.

Nga berkata di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), pihaknya mempunyai unit Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) yang menyediakan peruntukan bagi kerja penyelenggaraan.

“Setiap tahun kami sediakan RM50 juta untuk membantu rumah ibadat bukan Islam di seluruh negara.

“Bagi masjid, ia di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan peruntukan RM2.6 bilion disediakan,” katanya.

Semalam, Nga berkata KPKT melalui PBT bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam melaksanakan program pemutihan rumah ibadat yang dibina tanpa kebenaran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina secara tidak sah tanpa mengikut peraturan.

Menurut Anwar Malaysia merupakan negara berperlembagaan dan sebarang pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada undang-undang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan