AM > BERITA

"Inspiring Billionaire": Gambaran Mustahil Ananda Krishnan Kini Jadi Ikonik

10/02/2026 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Gambaran masa depan ketika remaja oleh mendiang Tan Sri T Ananda Krishnan pada awal 1950-an akhirnya menjadi kenyataan apabila menyaksikan Menara Berkembar Petronas kini berdiri megah, menurut Inspiring Billionare, sebuah biografi lengkap tokoh korporat itu.

Penulis terkemuka dan profesor adjung M Krishnamoorthy berkata Ananda yang ketika itu berusia 14 tahun telah berkongsi impian besarnya semasa menghadiri satu perhimpunan keluarga.

"Dengan semangat, beliau melukis gambaran masa depan yang kita rasa hampir mustahil, sambil berkata ‘Kuala Lumpur akan menjadi sebuah bandar hebat, dipenuhi dengan bangunan pencakar langit,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Krishnamoorthy berkata ketika mendengar kata-kata Ananda itu, ibu bapa tokoh korporat berkenaan hanya tersenyum sambil mengungkapkan: “Semoga impianmu menjadi kenyataan". 

Dan hari ini, Menara Berkembar Petronas yang ikonik, benar-benar berdiri megah seperti merealisasikan impian “mustahil” seorang remaja kira-kira tujuh dekad yang lepas, yang sekali gus mengubah panorama langit Malaysia.

Pengkisahan mengenai Ananda dalam Inspiring Billionare setebal 300 halaman itu, dilancarkan pada Ahad oleh pengasas Lotus group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri R Doraisingam Pillai, di Petaling Jaya dengan kehadiran lebih 100 tetamu dan kira-kira 200 naskhah sudah terjual.

Krishnamoorthy berkata taikun perniagaan terkemuka Malaysia itu juga telah menubuhkan beberapa yayasan yang menyediakan biasiswa serta membantu golongan miskin dan memerlukan.

“Kehebatan sebenar Ananda terletak pada sifat memberi, berkongsi kegembiraan dan mewujudkan peluang untuk orang lain. Buku ini lebih daripada sekadar inspirasi, ia mengajak kita menjiwai semangat filontrapi dan memberi impak kepada dunia,” katanya.

Sementara itu, Doraisingam berkata buku berkenaan menyingkap kehidupan Ananda luar daripada dunia perniagaan, dengan tumpuan kepada sumbangan filantropi dan kesannya terhadap masyarakat.

“Buku itu mendedahkan sisi luar biasa T Ananda Krishnan, insan yang legasinya melangkaui kekayaan dan menyentuh hati jutaan orang. Penulis M Krishnamoorthy bersama penulis Malaysia berjaya memaparkan susuk seorang dermawan dan tokoh perniagaan berwawasan, yang komited membantu hingga mengubah kehidupan serta masyarakat.

“Kisah Ananda adalah bukti kuasa kedermawanan dan keprihatinan,” katanya, sambil menambah pelaburan Ananda dalam sektor minyak, telekomunikasi, satelit, media, hiburan dan pendidikan telah mengubah landskap Malaysia serta membuka laluan untuk generasi baharu berkembang maju.

Bekas Pengerusi dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Azman Ujang yang menyumbang tiga artikel dalam buku berkenaan berkata Inspiring Billionare memberikan pandangan mendalam mengenai kehidupan dan pemikiran Ananda yang disifatkan "penuh cita-cita tinggi, namun berlandaskan kemanusiaan dan kerendahan hati".

“Naskhah unik dan hebat mengenai Ananda Krishan ini mendedahkan sisi kehidupan beliau yang penuh insipirasi dan jarang diketahui. Ananda ialah seorang tokoh berwawasan yang pasti akan menyemarakkan imaginasi pembaca.

“Perjalanan hidupnya penuh cita-cita, namun berlandaskan kemanusiaan dan kerendahan hati,” kata Azman, mengimbas kembali pertemuannya dengan Ananda semasa perancangan dan pembinaan Menara Berkembar Petronas.

Buku berkenaan turut menyorot falsafah perniagaan Ananda, yang menjadi panduan beliau meniti kejayaan hingga bergelar bilionair melalui pelaburan strategik jangka panjang, iaitu perniagaan dipilih bukanlah perniagaan untuk hari ini, tetapi untuk masa depan.

Dalam satu sesi temu bual, Ananda pernah berkata: “Kami tidak lakukan perkara sama yang dilakukan orang lain.

“Untuk menjana keuntungan, anda perlu mencari perniagaan jangka panjang dan menghasilkan wang pada masa depan. Perniagaan hari ini memberikan keuntungan kecil manakala perniagaan jangka panjang akan menghasilkan keuntungan besar tetapi memerlukan kesabaran.

Inspiring Billionaire akan mula dijual di kedai buku dan secara dalam talian tidak lama lagi.

Ananda meninggal dunia pada usia 86 tahun, 28 Nov 2024 di Switzerland.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan