AM > BERITA

Mohd Ismail Angkat Sumpah ADUN Lamag

10/02/2026 02:37 PM

KOTA KINABALU, 10 Feb (Bernama) -- Mohd Ismail Ayob yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag mengangkat sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah hari ini.

Mohd Ismail, 44, yang memenangi kerusi DUN Lamag pada 24 Jan lepas mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Pada PRK berkenaan, Mohd Ismail yang mewakili Barisan Nasional (BN) memperoleh 7,269 undi menewaskan Mazliwati Abdul Malek dari Warisan yang meraih 1,588 undi.

Mohd Ismail atau lebih dikenali Miha, sebelum ini adalah calon Bebas di DUN Lamag dan muncul pencabar terkuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lepas.

Pada PRN Sabah, Mohd Ismail kekurangan 153 undi di belakang penyandang ketika itu Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang memperoleh 3,908 undi.

PRK Dun Lamag diadakan serentak dengan PRK Parlimen Kinabatangan yang turut dimenangi BN menerusi Mohd Kurniawan Naim Moktar.

Kedua-dua PRK itu diadakan susulan kematian Bung Moktar pada 5 Dis lepas.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Mohd Ismail berkata beliau akan lebih aktif dalam persidangan DUN akan datang dan bercadang menyampaikan ucapan sulungnya dengan memberi tumpuan kepada manifesto semasa PRK DUN Lamag sebelum ini.

Beliau berkata tanggungjawab yang dipikul amat besar kerana kerusi DUN Lamag sebelum ini disandang Bung Moktar yang terkenal dengan kelantangan bersuara di dalam dewan, justeru, beliau akan memastikan isu rakyat tidak hanya dibincangkan di media sosial, sebaliknya disuarakan menerusi saluran rasmi.

“Alhamdulillah, hari ini saya mengangkat sumpah ADUN Lamag. Sudah tentu perasaan itu bercampur-baur...gembira dan kerusi DUN Lamag ini ada nilai sentimental kepada saya.

“Ini satu tanggungjawab amat berat. Saya akan cuba yang terbaik untuk menyuarakan masalah rakyat Lamag di dalam dewan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan ‘Lamag Wajah Baharu’ yang dibawanya bukan merujuk kepada perubahan personaliti, sebaliknya penambahbaikan dari segi pentadbiran serta pelaksanaan peranan sebagai wakil rakyat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan