KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 12,600 tiket tambahan bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) sektor KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral, yang akan dijual bermula tengah malam esok.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi menampung permintaan tinggi sempena perayaan Tahun Baharu Cina selepas 131,879 tiket asal bagi tempoh 13 hingga 22 Feb ini dilaporkan habis terjual.
Beliau berkata penambahan kapasiti itu dapat dilaksanakan susulan penggunaan set tren ETS3 ketujuh yang baru sahaja mendapat kelulusan beroperasi.
“Sukacita saya umumkan di sini juga sebanyak 12,600 tiket tambahan lagi untuk sektor KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral bagi tempoh 13 hingga 22 Feb akan mula dijual esok (11 Feb) pada 12.15 tengah malam menggunakan set ETS3 ketujuh yang baru sahaja diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) berkaitan status penjualan serta jumlah tiket tambahan perkhidmatan ETS dan Ekspres Timuran oleh KTMB sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri di Dewan Rakyat, hari ini.
Loke berkata KTMB turut memperkenalkan perkhidmatan inovatif ‘EMU Plus’ buat kali pertama bagi laluan KL Sentral-Ipoh-KL Sentral dengan memobilisasikan tren Six Car Set (SCS).
Beliau berkata perkhidmatan EMU Plus tersebut yang menawarkan 7,344 tempat duduk tambahan akan beroperasi pada 13 hingga 15 Feb dan 20 hingga 22 Feb, dengan rekod jualan semasa mencecah 43 peratus setakat ini.
Loke berkata secara keseluruhannya KTMB menyediakan 46,404 tiket tambahan bagi perayaan Tahun Baharu Cina tahun ini, melonjak 426 peratus berbanding hanya 8,820 tiket tahun lepas.
“Penambahan jumlah tiket pada 2026 ini adalah disebabkan penambahan tujuh set ETS3 dan pengoperasian ETS yang menghampiri 24 jam sepanjang tempoh perayaan ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi persiapan Hari Raya, sebanyak 118,823 tiket atau 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk yang ditawarkan bagi tempoh 13 hingga 29 Mac telah terjual.
Loke berkata penjualan tiket tren tambahan bagi Aidilfitri hanya akan diumumkan sebaik sahaja tiket sedia ada habis terjual.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial