PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pengurusan dan pelaksanaan projek MyKiosk.
Cadangan itu merangkumi pelaksanaan kajian keperluan menyeluruh termasuk penilaian kebolehlaksanaan dan impak ekonomi, meningkatkan keberhasilan projek MyKiosk MADANI dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta menubuhkan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi menilai keberkesanan dan pencapaian projek.
Dua cadangan lain termasuk penambahbaikan Garis Panduan Inisiatif MyKiosk MADANI dan mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan yang lengkap sebagai rujukan operasi.
Kesemua syor itu dibentangkan Timbalan Pengarah 1 Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM Maznah Che Muda kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali disaksikan Pengarah BPT SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan di sini, semalam.
SPRM memaklumkan syor dan cadangan itu berdasarkan kepada isu melibatkan peruntukan kerajaan bagi projek MyKiosk sebanyak RM50 juta pada 2023 dan RM100 juta pada 2024.
“Projek MyKiosk merupakan satu daripada projek gajah putih dan tidak mencapai objektif kerajaan, dan menyebabkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat daripada penempatan MyKiosk yang tidak sesuai.
“Antara isu utama ialah ketiadaan kajian keperluan dan mekanisme pemantauan keberhasilan komprehensif, termasuk KPI yang menjejaskan penilaian impak projek di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut SPRM dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mohd Zaki dalam kenyataan sama berkata pembentangan itu telah diterima baik dan mendapat persetujuan JKT untuk dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa, ketirisan serta menutup peluang berlakunya jenayah rasuah.
“Langkah ini dijangka memperkukuh pelaksanaan Projek MyKiosk agar lebih telus, berfokus dan berakauntabiliti,” katanya.
Mohd Fadzli menyambut baik kesemua cadangan penambahbaikan yang telah disyorkan SPRM dan dizahirkan menerusi penandatanganan Laporan Penambahbaikan Tatakelola secara bersama antara SPRM dan JKT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial