KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 14 Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) perlu menjalani penilaian prestasi pelaksanaan projek pembangunan selepas didapati tidak mencapai sasaran ditetapkan, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata penilaian itu dijalankan berasaskan sistem merit kerajaan merangkumi dua mekanisme utama iaitu konsep demerit dan remerit bagi mengukur prestasi sebenar kementerian terlibat.
“Banyaklah (hasil pertemuan dengan 14 KSU). (Mengenai penilaian) Kalau kementerian itu, (projek) pembangunannya tak bagus, pelaksanaannya tak bagus, kita demerit.
"Tapi, mungkin ada yang dibuat lain, pencapaiannya baik di peringkat negara dan antarabangsa, kita akan remerit (penilaian secara adil),” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Bilangan 1 Tahun 2026, di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Shamsul Azri berkata kerajaan akan memberi tumpuan kepada penilaian pembangunan ekonomi membabitkan projek hingga Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebelum pemberian markah kepada 14 kementerian tidak mencapai sasaran, dimuktamadkan.
“(Kita) tunggu selepas raya (untuk langkah seterusnya),” katanya.
Pada 15 Jan lepas, beliau berkata 14 kementerian dikenal pasti tidak berjaya mencapai sasaran pelaksanaan projek pembangunan fizikal yang diperuntukkan pada tahun lepas, dengan perbelanjaan pembangunan hanya mencatat 87.91 peratus, iaitu di bawah purata nasional dan memerlukan perhatian serius.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial