AM > BERITA

LCS Ketiga Dinamakan ‘Sharif Mashor’, Selamat Dilancar

10/02/2026 04:35 PM

LUMUT, 10 Feb (Bernama) -- Keberanian dan semangat perjuangan Pahlawan Sarawak, Sharif Mashor diabadikan pada Kapal Tempur Pesisir Ketiga (LCS3) negara milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang selamat dilancarkan di limbungan Lumut Naval Shipyard (LUNAS) di sini hari ini.

Upacara penamaan dan pelancaran penuh istiadat itu disempurnakan isteri Yang Dipertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi dengan simulasi penolakan Engine Order Telegraph (EOT) sebagai simbolik pelancaran.

Turut hadir pada majlis itu Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain serta Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS Azhar Jumaat.

Adly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan nama berkenaan adalah bertepatan dengan ketokohan Sharif Mashor.

“Beliau pada awalnya adalah pemerintah Sarikei yang mengawal Batang Rajang, Pahlawan Sharif Mashor dipercayai berasal dari Igan dan berkahwin dengan kakak Pengiran Nipa.

“Pahlawan Sharif Mashor yang dikenali mempunyai semangat pertiwi yang tebal, telah merancang untuk menentang pemerintahan Brooke,” katanya.

Beliau berkata semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian Sharif Mashor sangat sesuai diinspirasikan dengan keupayaan LCS TLDM yang mampu menangkis serangan musuh dari pelbagai dimensi.

Adly berkata nama Sharif Mashor yang gah akan menjadi simbol semangat perjuangan dan kekuatan armada TLDM khasnya dan ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia amnya dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Proses pembinaan LCS3 bermula dengan majlis perletakan lunas atau keel laying pada 29 Nov 2017 dan kapal berkenaan telah diluncurkan ke permukaan air secara teknikal di LUNAS pada 31 Jan lepas melibatkan pengujian dan penyempurnaan pelbagai sistem bagi memastikan kesiapsiagaan operasi. 

Terdahulu, LCS1 “Maharaja Lela” telah memulakan pelayaran pertama pada 28 Jan lepas manakala  pada 3 Julai 2025, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan upacara pelancaran dan penamaan LCS2 yang dinamakan “Raja Muda Nala”.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan