AM > BERITA

KPKT Salur RM183 Juta Bagi Projek Pembangunan, Baik Pulih Di Pahang

10/02/2026 05:01 PM

KUANTAN, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak RM183 juta disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan baik pulih di Pahang tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Beliau berkata peruntukan itu antaranya bagi pelaksanaan Rumah Mesra Rakyat sebanyak RM46.7 juta, selain RM37 juta bagi projek pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti pembinaan terminal bas Temerloh Sentral dan RM32 juta untuk bahagian kemampanan bandar bagi pelaksanaan program serta projek perumahan. 

Bagi projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), beliau berkata sebanyak RM21.1 juta disediakan melibatkan pelaksanaan di daerah Kuantan, Bera, Lipis, Rompin dan Bentong.

“Tiada yang tertinggal dan terpinggir, kita jaga semua dengan peruntukan turut disalurkan sebanyak RM4 juta kepada Bahagian Kampung Baru untuk projek pembangunan kampung baharu di Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih KPKT 4.0 sempena Lawatan Ke Rumah Pangsa Alor Akar di sini hari ini. 

Hadir sama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Pada majlis itu, Nga turut mengumumkan peruntukan tambahan RM1 juta masing-masing bagi membina semula Medan Selera Cenderawasih, Indera Mahkota dan Dewan Serbaguna Balok, di sini.

Nga berkata kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama Kerajaan MADANI dengan peruntukan bagi pelbagai pelaksanaan projek prasarana awam itu dilihat dapat mengangkat martabat negara dan darjat rakyat. 

“KPKT terus komited untuk bekerjasama dengan PBT di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan negara yang inklusif dan mampan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan