KUCHING, 10 Feb (Bernama) -- Sarawak bersedia meningkatkan eksport babi hidup ke Selangor susulan keputusan Sultan Selangor melarang aktiviti penternakan babi di negeri itu.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata negeri itu sebenarnya telah mula mengeksport babi hidup ke Selangor sejak tahun lalu.
“Kami juga terbuka untuk membekalkan kepada negeri lain yang berhasrat mengimport,” katanya kepada Bernama.
Mengulas sama ada kerajaan negeri merancang untuk memperluas atau memodenkan lagi industri penternakan babi di Sarawak, beliau berkata ketika ini terdapat beberapa ladang kecil serta ladang moden di negeri itu.
“Kami juga mempunyai tiga ladang moden berskala besar yang terletak di kawasan Simunjan, Ensengei dan Selangau,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan tidak memperkenankan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri itu berikutan risiko pencemaran yang boleh menjejaskan masyarakat setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial