AM > BERITA

2,571 Kes Tibi Dilaporkan Sehingga Minggu Epidemiologi Ke-5

10/02/2026 11:36 PM

PUTRAJAYA, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 2,571 kes penyakit Tuberkulosis (Tibi) dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-5 (ME 5/2026) merangkumi tempoh 1  Jan hingga 7 Feb lepas dengan kadar insiden 7.5 bagi setiap 100,000 penduduk.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan jumlah itu meningkat 229 kes atau 9.8 peratus berbanding 2,342 kes bagi tempoh sama pada 2025.

Menurut KKM, Tibi ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis dan merebak melalui udara, terutama melalui kontak rapat dengan individu dijangkiti.

“Kes indeks merujuk kepada kes Tibi yang dikenal pasti terlebih dahulu dan menjadi rujukan utama dalam siasatan kontak serta kawalan wabak,” menurut kenyataan KKM hari ini.

KKM menjelaskan kluster Tibi merujuk kepada dua kes atau lebih yang mempunyai kaitan dari segi masa, tempat atau hubungan kontak, sekali gus menunjukkan kemungkinan rantaian penularan yang sama.

Kluster berkenaan boleh berlaku dalam kalangan ahli keluarga, institusi, tempat kerja serta kontak rapat bukan keluarga dan diklasifikasikan sebagai aktif dalam tempoh enam bulan.

Bagi 2025, sebanyak 88 kluster Tibi melibatkan 254 kes dilaporkan di seluruh negara dengan 35 kluster masih aktif.

Bagi 2025, KKM memaklumkan jumlah keseluruhan 88 kluster Tibi telah dilaporkan di Malaysia melibatkan 254 kes Tibi.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan 13 kluster melibatkan 37 kes, diikuti Kedah enam kluster (13 kes), Sarawak lima kluster (27 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya lima kluster (14 kes). 

Johor mencatatkan tiga kluster dengan tujuh kes, Kelantan dua kluster (lima kes) dan Terengganu satu kluster (dua kes).

Setakat 7 Feb lepas, sebanyak 10 kluster Tibi masih aktif dilaporkan, membabitkan empat kluster di Selangor, selain masing-masing satu kluster di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis dan Sabah.

KKM menegaskan kluster Tibi terutama di institusi memerlukan perhatian serius kerana berpotensi meningkatkan penularan dalam komuniti.

“Tindakan kawalan termasuk pengesanan kontak, saringan serta promosi kesihatan akan dilaksanakan sebaik kluster diisytiharkan,”  menurut KKM.

Sehubungan itu, orang ramai yang mengalami gejala batuk melebihi dua minggu, demam, berpeluh waktu malam, kurang selera makan, susut berat badan dan batuk berdarah atau mempunyai sejarah kontak rapat dengan pesakit Tibi dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan awal di fasiliti kesihatan berhampiran.

“KKM sentiasa memantau situasi dan memperkukuh usaha pengesanan serta rawatan penyakit Tibi di negara ini,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan