AM > BERITA

AKPS Pamer Prestasi Awal Meyakinkan, Penyatuan Anggota Jadi Tumpuan - Pakar

11/02/2026 11:23 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kira-kira setahun lepas, bukan sekadar penstrukturan semula pentadbiran, malah mencerminkan kesungguhan negara menilai semula cara sempadannya diurus.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Amer Fawwaz Mohamad Yasid berkata AKPS dalam tempoh yang singkat telah melalui fasa paling kritikal bagi mana-mana organisasi baharu, iaitu fasa pembuktian awal keupayaan dan keberkesanan operasi.

Beliau berkata prestasi pasukan itu dalam mengawal pintu masuk negara membuktikan model kawalan bersepadu yang diperkenalkan mula menunjukkan hasil, sekali gus meningkatkan keyakinan awam terhadap keupayaan agensi itu.

Tempoh 2025 hingga 2030 akan menjadi fasa penting AKPS apabila agensi itu perlu memantapkan struktur organisasi, memperjelas mandat serta membina identiti tunggal yang kukuh dalam kalangan anggotanya yang datang daripada pelbagai latar belakang agensi berbeza.

"Hala tuju utama AKPS dalam tempoh lima tahun akan datang adalah memastikan konflik dalaman dapat dihapuskan, budaya kerja bersepadu diperkukuh, struktur organisasi diperkemas dan bidang kuasa diperjelas.

“Jika AKPS dapat membuktikan keberkesanan model ini secara konsisten, ia boleh menjadi asas kepada reformasi lebih besar dalam pengurusan keselamatan sempadan negara," katanya kepada Bernama.

Amer Fawwaz berkata cabaran utama AKPS bukan lagi soal keupayaan penguatkuasaan semata-mata, tetapi usaha menyatukan budaya kerja, identiti dan rantaian arahan dalam kalangan anggota untuk membina semangat satu pasukan.

Beliau berkata ia bagi mengurangkan pertindihan peranan dan mengelakkan persaingan dalaman yang boleh menjejaskan kerjasama dan melemahkan keberkesanan operasi.

Walaupun AKPS masih 'muda' usianya, prestasi awal dari segi keupayaan mengekang kemasukan barangan haram dan kontraban melalui pintu masuk disifatkan memberangsangkan.

Malah, statistik rampasan dan laporan penguatkuasaan yang dipaparkan dalam media memberikan  gambaran bahawa pendekatan berfokus itu mula menunjukkan hasil.

"Apa yang mengagumkan saya ialah hasil rampasan dan data statistik yang dilaporkan. Ini berkait rapat dengan struktur kepimpinan AKPS yang menampilkan individu tegas seperti Ketua Pengarah Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, tidak berkompromi dan menekankan integriti serta tatakelola yang baik," katanya.

Amer Fawwaz berpandangan kepimpinan memainkan peranan penting dalam fasa awal pembinaan institusi dan penekanan terhadap disiplin, integriti dan akauntabiliti memberikan asas kukuh kepada pembentukan budaya kerja yang profesional, sekali gus mengurangkan ruang ketirisan dan salah guna kuasa.

Beliau berkata sekiranya pendekatan itu dilaksanakan secara konsisten, AKPS berpotensi menjadi penanda aras kepada perbincangan jangka panjang mengenai penubuhan agensi tunggal kawalan sempadan negara, satu idea yang telah dibincangkan hampir dua dekad.

Sementara itu, Pengarah Pusat Wilayah Undang-Undang Tentera dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (CoMIHL), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Lt Kdr Dr Mazura Md Saman berkata penubuhan AKPS langkah strategik bagi menangani ancaman keselamatan sempadan yang semakin kompleks.

Langkah itu turut mencerminkan keperluan mendesak untuk melakukan reformasi struktur kawalan sempadan negara, khususnya dalam menghadapi peningkatan jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia dan penyalahgunaan laluan sah di pintu masuk negara.

Beliau berkata sebelum penubuhan AKPS, sistem kawalan sempadan negara berdepan kekangan serius termasuk penyelarasan yang tidak memadai, penggunaan sumber yang tidak disatukan serta perolehan aset yang bersifat bersaing antara agensi.

"Penubuhan AKPS sebagai agensi bersepadu di barisan hadapan adalah tindak balas organisasi untuk menutup jurang struktur ini. Membolehkan kawalan sempadan dilaksanakan di bawah satu rantaian arahan yang lebih jelas dan bertanggungjawab," katanya.

Mengulas peranan AKPS dalam aspek keselamatan negara, Mazura berkata pendekatan kawalan bersepadu di pintu masuk mampu mematahkan modus operandi sindiket yang semakin canggih, termasuk penggunaan 'orang dalam' dan penyalahgunaan laluan khas.

"Apabila saringan, penolakan kemasukan (Not To Land) dan pemeriksaan kargo dilaksanakan secara terselaras, ia bukan sahaja menutup ruang kemasukan sindiket, malah mengganggu keseluruhan rantaian jenayah komersial," katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan AKPS dalam melindungi kepentingan ekonomi negara, khususnya dalam mengekang kebocoran hasil dan penyeludupan barangan subsidi.

"Isu kebocoran hasil di sempadan bukan sekadar isu penguatkuasaan, tetapi isu tadbir urus negara. AKPS berperanan sebagai lapisan pertama untuk mencegah salah ikrar, manipulasi dokumen dan penyeludupan barangan yang merugikan fiskal negara," katanya.

Mazura berkata dalam konteks keyakinan pelabur dan imej negara, kawalan sempadan yang kukuh, konsisten dan berasaskan risiko akan meningkatkan kepastian perniagaan serta mengurangkan 'kos senyap' akibat kelewatan dan ketidakpastian di sempadan.

Mengulas hala tuju jangka panjang, beliau berkata tempoh 10 tahun akan datang perlu digunakan untuk membina AKPS sebagai institusi yang berintegriti tinggi, boleh diaudit dan tertakluk kepada mekanisme semak dan imbang yang berkesan.

"AKPS perlu berevolusi dari segi teknologi, tahap integrasi dan keluasan kuasa operasi tanpa menjejaskan prinsip akauntabiliti serta kebebasan pengawasan. Jika prinsip ini tidak dipatuhi, konsep 'agensi tunggal' berisiko bertukar menjadi 'titik kegagalan tunggal' dalam tadbir urus sempadan," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan