AM > BERITA

Program UniReady 2026 Bantu Anak Muda Melangkah Ke Universiti Dengan Yakin

11/02/2026 04:11 PM

KAJANG, 11 Feb (Bernama) -- Program UniReady 2026 bukan sekadar platform persediaan akademik, sebaliknya menjadi medan pendedahan penting kepada anak-anak muda untuk melangkah ke alam universiti dengan lebih yakin dan matang, kata Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) mencerminkan komitmen institusi itu bukan sahaja dalam kecemerlangan akademik, malah membuka peluang pendidikan kepada anak bangsa.

Dr Wan Azizah berkata pengalaman hidup memainkan peranan besar dalam membentuk kekuatan diri selain ilmu yang dipelajari di bilik kuliah.

"Anak-anak, pengalaman itu penting. Hidup berteraskan banyak ilmu, namun pengalamanlah yang mengajar kita menghadapi segala ujian dalam hidup kita," katanya ketika berucap pada majlis perasmian UniReady 2026, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Tenaga Nasional Bhd (TNB) Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Naib Canselor Uniten Prof Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari.

Dr Wan Azizah turut berkongsi kisah Perdana Menteri yang selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya pernah ditawarkan jawatan di United Nations, New York dengan gaji lumayan, namun memilih untuk kembali berkhidmat dalam bidang pendidikan dan membantu golongan tercicir.

Beliau berkata peluang kedua yang diberikan kepada anak-anak yang gagal sebelum ini membuktikan bahawa setiap individu berhak diberi ruang untuk bangkit dan cemerlang tanpa perlu dilabel atau dikategorikan.

"Peluang seperti ini tidak mudah diperoleh. Rebut dan ambil peluang itu, tetapi dengan hati yang baik dan niat yang murni untuk membina negara bersama. Malaysia ini mesti teruskan dengan kebaikan kerana anak-anak kita, rakyat kita hidup berilmu demi integriti dan mempunyai hati nilai MADANI," katanya.

Dr Wan Azizah turut berkongsi pengalaman peribadi melanjutkan pelajaran di Ireland selepas menerima biasiswa, yang memberinya pendedahan luas dalam membentuk keyakinan diri dan kemahiran komunikasi.

Beliau berkata kejayaan akademik dan kerjaya semata-mata tidak mencukupi tanpa pegangan akidah dan nilai moral yang kukuh, khususnya dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang disebarkan secara meluas dalam media sosial tanpa penelitian dan pengesahan.

Setiap maklumat yang diterima, khususnya daripada sumber yang tidak jelas, perlu disemak terlebih dahulu bagi mengelakkan mudarat kepada individu atau masyarakat akibat kejahilan dan sikap terburu-buru.

Sementara itu, Naib Canselor Uniten berkata program UniReady 2026 bukan sekadar sebuah kem akademik, sebaliknya sebuah platform pembangunan holistik yang memberi penekanan kepada pembinaan kepimpinan, penguasaan kemahiran komunikasi, pengukuhan sahsiah diri serta pendedahan kepada realiti kehidupan kampus.

"Pendekatan ini selari dengan aspirasi Uniten untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah bersedia memikul peranan sebagai pemimpin masa hadapan  negara," katanya.

Khairul Salleh berkata UniReady 2026 berbeza daripada penganjuran sebelum ini, kerana   mengintegrasikan elemen micro-credential sebagai komponen utama program, memperkenalkan pembelajaran modular yang lebih dinamik, berfokus industri serta selaras dengan keperluan kemahiran masa hadapan.

Program UniReady 2026 dilaksanakan hasil kerjasama strategik antara Uniten, Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak dan Biro Pendidikan Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan dengan sokongan TNB, yang melibatkan 250 peserta. 

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan