BANGI, 11 Feb (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyelaras pelaksanaan Ops Ihsan 2.0 dengan menghimpunkan hampir 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melalui pendekatan bersepadu bagi memastikan penyaluran bantuan kemanusiaan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pendekatan itu bertujuan mengelakkan pertindihan bantuan yang sebelum ini dilaksanakan secara berasingan oleh NGO masing-masing.
“Pada tahun lepas kita ada 30 aktiviti yang dilaksanakan oleh JAKIM bersama ahli korporat dan syarikat terpilih yang memang mereka nak menyumbang sama ada wakalah zakat ataupun menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Dan tahun ini saya yakin dan percaya banyak lagi usaha yang akan dilaksanakan JAKIM bersama syarikat korporat berkenaan bagi menjayakan program dakwah agar Islam mekar di bumi Malaysia, insya-Allah,” katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM di sini hari ini.
Sesi libat urus Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama SDK JAKIM itu menjadi platform menghimpunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk bersatu di bawah satu bendera, iaitu Jalur Gemilang, dalam melaksanakan aktiviti bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara.
Sesi berkenaan dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Sirajuddin berkata mesyuarat berkenaan merupakan penganjuran kali pertama tahun ini, dan kali ke-26 di bawah SDK, satu daripada cabang Bahagian Dakwah JAKIM yang melibatkan sektor korporat dalam menjayakan program dakwah di seluruh negara.
Sesi libat urus yang dihadiri lebih 20 wakil sektor korporat itu menjadi platform untuk bertukar pandangan, menyusun langkah serta memperkukuh agenda dakwah dalam melaksanakan aktiviti CSR.
Antara badan korporat yang terlibat adalah Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, CIMB Islamic Bank, DRB-Hicom dan Malaysia Airports Holdings Berhad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial