MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Ibu kepada kanak-kanak perempuan yang tular memakai kostum adiwira Spiderman yang meminta simpati masyarakat di sebuah stesen minyak di sini baru-baru ini, menafikan anaknya seorang pengemis, malah tidak tahu menahu tentang perkara itu.
Nor Hafika Mohd Shamsul, 30, berkata dia sama sekali tidak tahu anak sulungnya itu dibawa keluar oleh bapa angkatnya yang dikenali hampir 20 tahun sehinggalah dimaklumkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.
Wanita itu berkata anaknya yang berusia tujuh tahun itu hanya beberapa kali mengikut bapa angkatnya yang dikenali sebagai "Uncle Awe" memakai kostum berkenaan.
"Saya ingat dia sekadar duduk di belakang bapa angkatnya sahaja, saya tidak tahu dia berdiri buat maskot (menggayakan kostum itu untuk meminta simpati). Apabila pulang ke rumah dia bercerita yang dia seronok sebab ramai kanak-kanak suka tengok, itu sahaja," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Paya Rumput di sini, hari ini.
Nor Hafika yang berasal dari Masjid Tanah dan bekerja sebagai pengasuh itu berkata kostum anaknya itu dijumpai di sebuah pusat pengumpulan pakaian terpakai di Tangga Batu pada Disember tahun lepas.
"Dia pernah minta sebab minat dengan watak itu, tetapi saya tidak mampu untuk membelinya. Kebetulan saya jumpa di dalam tong pakaian terpakai, walaupun koyak sedikit dia tetap pakai. Kalau ada orang hulur duit, dia kata itu duit sekolah, dia tidak pernah minta, duit itu dia simpan sendiri," katanya.
Nor Hafika berkata keluarganya berada dalam kesempitan hidup selepas suaminya Mohd Nazry Mohd Ali, 40, tidak dapat bekerja setelah menjalani pembedahan kerana sakit angin pasang dan bergantung sepenuhnya pada bantuan bulanan disalurkan JKM.
"Saya malu apabila perkara ini tular. Anak saya peluk saya dan meminta maaf, dia janji tidak ikut bapa angkatnya lagi. Saya cuma mahu anak saya belajar dan berjaya, saya tidak pernah ajar dia minta simpati orang," katanya.
Sementara itu, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin yang menziarahi keluarga itu berkata JKM Melaka akan meneliti keperluan untuk menambah bantuan kepada keluarga berkenaan yang kini menerima Bantuan Am sebanyak RM250 sebulan.
" … mungkin kita tolong naikkan lagi (bantuan) ke tahap yang lebih baik dan kalau boleh kita cuba bantu kanak-kanak itu juga," katanya kepada pemberita.
Akhbar sebelum ini melaporkan seorang lelaki berumur 50 tahun ditahan JKM Melaka selepas didapati membawa seorang kanak-kanak perempuan memakai kostum adiwira Spiderman di sebuah stesen minyak di Cheng di sini, dipercayai untuk tujuan mengemis.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial