KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua yang menyediakan bantuan sekali bayar RM100 kepada lebih 22 juta pemegang MyKad bukan sahaja meringankan beban rakyat, malah membuka ruang kepada anak muda menjana pendapatan serta merancakkan ekonomi tempatan.
Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi berkata walaupun nilainya tidak besar, bantuan berkenaan boleh menjadi modal permulaan kepada golongan muda yang kreatif dan mempunyai inisiatif tinggi untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan tambahan.
“Kerajaan bantu sebagai pemangkin. RM100 itu mungkin kecil, tapi kalau kita gabungkan dengan adik-beradik dalam satu keluarga, ia boleh jadi modal yang besar untuk mereka memulakan sesuatu,” katanya semasa menjadi tetamu dalam program Fokus 30 terbitan Bernama Radio, di sini hari ini.
Beliau berkata ada dalam kalangan anak muda yang memanfaatkan kredit tersebut untuk membeli bahan mentah dan memulakan perniagaan kecil seperti menjual kek, kuih dan produk makanan secara dalam talian atau dalam komuniti setempat.
Budiman berkata pendekatan itu sejajar dengan realiti semasa yang menuntut golongan muda bukan sahaja bergantung kepada bantuan, sebaliknya berusaha meningkatkan pendapatan.
“Hidup memang semakin mencabar, jadi kita ada dua pilihan sama ada kurangkan perbelanjaan atau tingkatkan pendapatan. Anak muda hari ini perlu kreatif mencari peluang itu,” katanya.
Dalam masa sama, Budiman berkata pelaksanaan SARA turut memberi impak positif kepada ekonomi setempat apabila perbelanjaan dilakukan di pasar raya, kedai runcit dan premis perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdaftar.
“Bila 22 juta rakyat membelanjakan bantuan itu dalam negara, sudah tentu ia memberi kesan berganda kepada ekonomi tempatan. Peniaga kecil, peruncit dan pembekal turut merasai manfaatnya,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga prihatin dan sentiasa menerima cadangan penambahbaikan daripada rakyat bagi memastikan pelaksanaan SARA lebih lancar dan relevan dengan keperluan semasa.
Antara penambahbaikan yang dilaksanakan ialah peluasan rangkaian premis yang menerima transaksi SARA termasuk kedai runcit di luar bandar dan menambah makanan sejuk beku sebagai kategori barangan asas yang boleh dibeli bagi memenuhi keperluan keluarga masa kini khususnya ibu bapa bekerja.
Mengulas tentang penggunaan MyKad sebagai medium transaksi tanpa tunai, beliau berkata pendekatan itu bertujuan memastikan bantuan hanya dinikmati oleh warganegara sahaja serta mengurangkan ketirisan subsidi.
“Oleh kerana terlalu banyak isu penyeludupan dan penggunaan barang bersubsidi oleh warga asing, kerajaan memilih pendekatan untuk menyalurkan bantuan menerusi MyKad kerana hanya warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad dan layak menerima bantuan ini. Jadi ini sememangnya satu langkah yang baik dan membuatkan kita rasa bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial