AM > BERITA

Perkeso Rekod Lonjakan 28 Peratus Penempatan Kerjaya Mahir Menerusi MYFutureJobs

13/02/2026 11:48 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Strategi penempatan pekerjaan oleh Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan menerusi MYFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) merekodkan peningkatan 28 peratus bagi jawatan berkemahiran tinggi dalam industri khusus pada 2025. 

Perkeso dalam kenyataan hari ini memaklumkan, peratusan lonjakan itu bersamaan dengan 32,887 penempatan pada tahun lepas berbanding 23,638 pada 2024.

Kenyataan itu memaklumkan pencapaian tersebut adalah sebahagian daripada kejayaan besar portal MYFutureJobs yang telah membantu seramai 1.4 juta rakyat Malaysia memperoleh pekerjaan bagi tempoh 2020 sehingga Disember 2025.

“Daripada jumlah tersebut (1.4 juta), fokus terhadap graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut diperkukuh dengan 92,896 penempatan berjaya direkodkan sepanjang 2025 sahaja,” menurut Perkeso.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata momentum itu selari dengan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan permintaan buruh tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak 9.21 juta jawatan.

"KESUMA (Kementerian Sumber Manusia) menerusi Perkeso kini beralih daripada sekadar pemadanan kerja tradisional kepada strategi intervensi bersasar. Fokus kita adalah industri berimpak dan bernilai tinggi (HGHV) seperti sektor elektrik, elektronik, dan tenaga hijau yang menawarkan upah lebih baik demi menjamin kualiti hidup rakyat," katanya dalam kenyataan itu. 

Ramanan berkata tunjang utama usaha itu melalui MYFutureJobs Perkeso adalah untuk memastikan operasi pasaran buruh, mekanisme pemadanan pekerjaan dan intervensi dasar diselaraskan secara strategik dengan industri serta kemahiran yang diperlukan oleh ekonomi masa hadapan.

Berbanding portal pekerjaan tradisional yang sekadar membolehkan fungsi carian dan tapisan, beliau berkata, MYFutureJobs menggunakan sistem pemadanan canggih dengan menilai permintaan majikan berbanding profil dan kecenderungan pencari kerja untuk mencapai padanan kemahiran pada kadar ketepatan tinggi.

“Memanfaatkan kecerdasan pasaran buruh daripada sistem perlindungan sosial Perkeso, MYFutureJobs menyediakan data yang kukuh, ramalan dan analisis yang membantu dalam membuat keputusan bagi pencari kerja, majikan, serta kaunselor kerjaya.

“Inilah cara terbaik untuk membantu kaunselor sekolah dan universiti memberikan nasihat kerjaya yang mantap kepada pelajar, dengan memanfaatkan segenap fungsi dalam MYFutureJobs," katanya.

Ramanan juga berkata keberkesanan MYFutureJobs kini diperkukuh dengan purata trafik bulanan sebanyak 7.5 juta, yang menghubungkan tiga juta pencari kerja di seluruh negara dengan lebih 100,000 majikan.

Beliau berkata rangkaian itu disokong oleh 54 cawangan, 290 pusat satelit dengan lebih 600 kakitangan dan berkerjasama dengan lebih 50 institusi bagi mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dalam pasaran buruh.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan