AM > BERITA

Pengasas Kampung Kasi, E. Kasinadan Meninggal Dunia

13/02/2026 02:47 PM

IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Pengasas Kampung Kasi, E. Kasinadan, 85, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Kampung Kasi dekat Beruas, kira-kira 5 pagi tadi.

Mendiang meninggalkan sembilan anak, iaitu tujuh lelaki dan dua perempuan termasuk Editor Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) K. Ghandi.

Ghandi berkata bapanya memilih untuk terus menetap di Kampung Kasi selepas bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Ayah ialah pengasas Kampung Kasi kira-kira 44 tahun lepas berhampiran Ladang Saffora dan usaha membuka serta membangunkan penempatan itu menjadi asas kepada pembentukan komuniti setempat sehingga kini.

“Ayah berkhidmat dalam Rejimen 503 AW dari 6 Jan 1966 hingga 5 Jan 1982 dan turut terlibat operasi memerangi komunis sepanjang tempoh perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ghandi berkata mendiang juga aktif dalam politik dan kemasyarakatan termasuk pernah menyandang jawatan Ketua MIC Cawangan Kampung Kasi serta terlibat dalam pelbagai persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Beliau sangat tegas, berdisiplin dan mempunyai prinsip tinggi dalam mendidik anak serta menitikberatkan soal pendidikan.

“Beliau mahu melihat anak berjaya dan berdikari. Selepas bersara, ayah berhasrat terus tinggal di Kampung Kasi kerana di situ segala usaha dan kenangannya bermula,” katanya.

Ghandi berkata mendiang sentiasa mengingatkan mereka supaya berpegang kepada nilai integriti, hormat-menghormati dan semangat bermasyarakat.

Mendiang akan disemadikan di Krematorium Manjung Hindu Sabah, Sitiawan pada 1 tengah hari esok

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan