AM > BERITA

KPDN Johor Perhebat Usaha Didik Peniaga Amal Etika Perniagaan

13/02/2026 06:39 PM

MUAR, 13 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan mempergiat usaha mendidik peniaga di negeri ini mengamalkan etika perniagaan bagi mewujudkan persekitaran perdagangan yang telus serta mematuhi perundangan sedia ada.

Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata langkah itu diambil susulan peningkatan kes pelbagai kesalahan melibatkan peniaga dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini iaitu 1,103 kes pada 2023, meningkat kepada 1,267 kes (2024 ) dan 2,531 kes (2025).

Beliau berkata bagi 2025 sahaja, sebanyak 138,996 pemeriksaan dilaksanakan dengan nilai rampasan berjumlah RM5.08 juta, kompaun RM2.38 juta serta denda mahkamah RM350,500.

“Untuk tahun ini, bagi mengurangkan jumlah kes kesalahan dalam kalangan peniaga usaha  penguatkuasaan yang berfungsi sebagai pendidikan dan meningkatkan kesedaran pengamalan etika perniagaan, akan dilakukan dari semasa ke semasa dan bukannya pada musim tertentu sahaja.

“Kita harapkan kesedaran dalam kalangan pengguna dan peniaga akan bergerak seiring kerana sebelum ini aspek pendidikan lebih tertumpu kepada pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 Peringkat Negeri Johor di Pasar Raya Econsave di sini hari ini.

Mengenai pelaksanaan SHMMP tahun lepas yang melibatkan empat perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Puasa, Deepavali dan Krismas, beliau berkata sebanyak 1,555 pemeriksaan dijalankan dengan 382 kes direkodkan.

“Antara kesalahan yang dilakukan tahun lepas ialah gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu terhadap barangan harga terkawal,” katanya.

Lilis Saslinda berkata SHMMP bagi Tahun Baharu Cina tahun ini berkuat kuasa sembilan hari bermula 13 Feb hingga 21 Feb.

Sepanjang tempoh itu di Johor, sebanyak 15 barangan disenaraikan sebagai barangan terkawal, antaranya ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek atau sawi Jepun dan kubis bulat import.

Turut tersenarai ialah lobak merah (China), lobak putih (import), ubi kentang (China), halia tua (import), babi hidup, daging babi (perut) serta daging babi (daging dan lemak).

Beliau menegaskan peniaga wajib mempamerkan barangan berkenaan dengan tanda harga merah jambu, tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan, memastikan bekalan mencukupi serta menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

“Tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya.

– BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan