AM > BERITA

Reach Tanam 1,500 Anak Pokok Di Hutan Simpan Di Cameron Highlands

13/02/2026 08:14 PM

 

IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Sebanyak 1,500 anak pokok ditanam di Hutan Simpan Batu Gangan, Kuala Terla dekat Cameron Highlands, Pahang, menerusi program penanaman pokok yang diadakan hari ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan pemuliharaan alam sekitar.

Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan program penanaman pokok itu melibatkan seramai 40 orang pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Raja serta 120 sukarelawan.

Reach memaklumkan aktiviti tersebut turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands bagi memastikan penanaman dilakukan secara sistematik dan memberi impak jangka panjang kepada ekosistem setempat.

"Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen Reach yang telah lebih 20 tahun menjalankan aktiviti penanaman pokok demi memastikan kelestarian alam sekitar di Cameron Highlands terus terpelihara.

"Penanaman pokok di Cameron Highlands amat penting kerana kawasan tanah tinggi ini berfungsi sebagai kawasan tadahan air utama negeri Pahang, penstabil cerun bagi mengurangkan risiko tanah runtuh, habitat biodiversiti yang unik dan sensitif, penyerap karbon bagi menangani perubahan iklim serta penyejuk semula jadi yang mengekalkan iklim tanah tinggi," menurut kenyataan tersebut.

Menurut Reach, aktiviti penanaman semula hutan seperti itu membantu memulihkan kawasan yang terjejas akibat pembangunan tidak terkawal, hakisan tanah serta perubahan guna tanah.

Reach berharap program sedemikian dapat diteruskan secara berkala dan menjadi contoh kerjasama antara komuniti, sektor swasta dan agensi kerajaan dalam melindungi khazanah alam semula jadi negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan