KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya menggunakan elektrik secara berhemat berikutan cuaca panas berterusan serta peningkatan penggunaan menjelang musim perayaan.
Menurut Tenaga Nasional Berhad (TNB), penggunaan elektrik meningkat ketika cuaca panas susulan penggunaan peralatan elektrik seperti penyaman udara dan kipas dalam tempoh lebih panjang, manakala pada musim perayaan pula akibat lampu hiasan, penyediaan makanan dan penganjuran majlis.
“Keadaan ini bukan sahaja boleh meningkatkan bil elektrik, malah berpotensi meningkatkan risiko kemalangan sekiranya keselamatan diabaikan,” menurut TNB dalam kenyataan.
TNB turut menyediakan tips keselamatan elektrik seperti berikut:
• Matikan suis utama jika meninggalkan rumah dan cabut palam peralatan tidak digunakan.
• Pastikan peralatan elektrik tidak terdedah kepada cahaya matahari langsung, haba berlebihan, atau bahan mudah terbakar seperti langsir dan kertas.
• Periksa soket, palam, dan pendawaian elektrik; pastikan tiada yang rosak atau longgar.
• Pastikan Peranti Arus Baki (PAB/ELCB/RCCB) berfungsi dan diuji secara berkala.
• Gunakan kontraktor elektrik berdaftar Suruhanjaya Tenaga untuk semua kerja pendawaian atau pembaikan.
• Gunakan peralatan elektrik dan lampu hiasan bersijil ST-SIRIM serta label kecekapan tenaga yang baik.
• Elak membebankan soket atau menggunakan kabel penyambung untuk peralatan berkuasa tinggi.
• Jangan mengecas telefon sambil menggunakannya, atau biarkan peralatan beroperasi tanpa pengawasan; pastikan bunga api dan bahan perayaan jauh daripada tiang/kabel elektrik.
Bagi tips penggunaan elektrik berhemat, TNB mencadangkan supaya:
• Tetapkan suhu penghawa dingin pada 24–26°C; bersihkan penapis secara berkala dan pastikan pengudaraan baik.
• Susun atur peti sejuk dengan kemas untuk aliran udara yang baik dan kurangkan membuka pintu terlalu kerap.
• Gunakan pemasa untuk lampu hiasan dan maksimumkan penggunaan cahaya semula jadi pada waktu siang.
• Rancang penggunaan peralatan elektrik bagi mengelakkan penggunaan serentak peralatan berkuasa tinggi.
• Hadkan tempoh penggunaan pemanas air semasa mandi.
• Tutup suis peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan pilih peralatan berlabel cekap tenaga.
• Gosok pakaian secara pukal bagi mengurangkan penggunaan elektrik.
• Matikan suis periuk nasi selepas memasak dan pindahkan makanan ke bekas kedap panas; sidai pakaian di bawah cahaya matahari berbanding menggunakan mesin pengering.
• Matikan suis periuk nasi selepas memasak dan pindahkan makanan ke bekas kedap panas; sidai pakaian di bawah cahaya matahari berbanding menggunakan mesin pengering.
Sebarang gangguan atau kejanggalan elektrik boleh dilaporkan melalui TNB CareLine di talian 15454, Chatbot SARA di portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau akaun media sosial Facebook TNB CareLine & X @Tenaga_Nasional.
“TNB mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya. Semoga perayaan ini membawa kebahagiaan, kesejahteraan dan keselamatan kepada anda serta keluarga tersayang,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial