AM > BERITA

MOT Usaha Percepat Pembukaan LRT3, Akui Cabaran Pertambahan Kenderaan - Loke

14/02/2026 02:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) mempergiat usaha untuk mempercepatkan pembukaan laluan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dan kawasan sekitar sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Menterinya Anthony Loke berkata inisiatif itu penting bagi menyediakan lebih banyak pilihan mod pengangkutan awam kepada pengguna, namun mengakui usaha mengurangkan kesesakan berdepan cabaran besar susulan peningkatan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya.

"Kita akan terus cuba di peringkat kementerian dalam masa beberapa bulan akan datang untuk percepatkan dan membuka laluan LRT3.

"Ini sebagai satu daripada langkah mitigasi bagi memberikan pilihan kepada penumpang," katanya pada sidang media selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Tahun Baharu Cina di KL Sentral di sini hari ini.

Majlis yang turut dihadiri Pengerusi KTMB Datuk Ahmad Redza Abdullah itu menyaksikan lebih 250 pek cenderahati diagihkan kepada penumpang perkhidmatan tren elektrik (ETS) di sini. 

Mengenai situasi kesesakan yang sering berlaku khususnya pada musim perayaan, Loke berkata realiti pertambahan kenderaan setiap hari perlu difahami semua pihak.

Beliau berkata jualan kenderaan di Malaysia pada tahun lepas mencatatkan angka yang sangat tinggi iaitu 820,000, menjadikan negara ini pasaran kenderaan terbesar di Asia Tenggara mengatasi Indonesia dan Thailand.

"Mitigasi sentiasa kita buat dalam musim perayaan tetapi kita kena faham bilangan kenderaan bertambah setiap hari. Tahun lepas kita menjual 820,000 kenderaan di dalam negara.

"Pada masa ini kita belum ada dasar untuk mengawal kenderaan. Kalau saya cakap ada dasar untuk end of life (dasar pelupusan kenderaan) dan sebagainya pula, nanti akan ada masalah lain, akan ada aduan lain," katanya.

Loke berkata buat masa ini kerajaan belum melaksanakan sebarang dasar pengawalan jumlah kenderaan namun perkara itu perlu diteliti secara serius untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Loke memaklumkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan dengan penambahan tiga set Perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) yang baharu, KTMB kini menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan. 

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sepanjang tempoh perayaan ini adalah sebanyak 58 trip sehari,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan