AM > BERITA

McDonald’s Malaysia Lancar Program Santun Pelajar Sedia 1 Juta Pek Makanan

14/02/2026 06:52 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- McDonald’s Malaysia hari ini melancarkan Program Santun Pelajar, satu inisiatif menyeluruh untuk menyokong pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang berdepan cabaran mendapatkan akses kepada keperluan asas sepanjang pengajian. 

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatannya Datuk Azmir Jaafar berkata inisiatif itu diperkenalkan bagi membantu pelajar IPT yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.

“Program ini menyasarkan penyediaan sebanyak 1.0 juta pek makanan kepada pelajar IPT yang memerlukan sehingga akhir 2026, sebagai usaha memperkukuh keterjaminan makanan.

“Bagi fasa awal, inisiatif ini dimulakan dengan agihan 50,000 pek makanan kepada pelajar IPT bersempena bulan Ramadan,” katanya pada sidang media sempena pelancaran program itu, di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Pengarah Bahagian Pendidikan Tinggi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Siti Aminah Abdul Kadir, Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Impak McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai serta pensyarah dan wakil pelajar IPT.

Azmir berkata program itu dilaksanakan berdasarkan maklum balas serta pelbagai kajian, termasuk dapatan daripada kajian Nutrition Society of Malaysia bertajuk "Financial problems associated with food insecurity among public university students in Peninsular Malaysia" pada 2020, yang menunjukkan 60 peratus pelajar IPT berdepan isu keterjaminan makanan.

Bagi fasa permulaan, McDonald’s Malaysia telah menyerahkan baucar Nasi Mekdi kepada wakil 20 IPT di 11 negeri yang membolehkan pelajar menebus hidangan setiap hari Isnin hingga Jumaat di cawangan terpilih berhampiran kampus masing-masing bermula 19 Feb hingga 10 Mac ini.

Baucar tersebut boleh ditebus bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam untuk mengelakkan kesesakan waktu puncak.

Beliau berkata bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar, proses pemilihan penerima dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar di setiap institusi berdasarkan kriteria data sedia ada serta peruntukan kuota yang ditetapkan.

“Komitmen jangka panjang itu melibatkan anggaran pelaburan keseluruhan mencecah RM5 juta yang dijana hasil daripada kecekapan operasi dan rantaian bekalan syarikat.

“Matlamat kita adalah memperluaskan program ini kepada 75 buah IPT di seluruh negara. Kita nak pastikan kos makanan tidak lagi menjadi penghalang bagi pelajar untuk fokus kepada pembelajaran dan mencapai potensi sebenar mereka,” kata Azmir.

Sementara itu, seorang pelajar dari Kolej Profesional MARA Indera Mahkota Pahang, Muhammad Syuwari Md Noh, 20, menyifatkan inisiatif itu sebagai talian hayat buat mahasiswa yang bergelut dengan masalah kewangan.

“Pelajar kadang-kadang hanya makan sekali sehari, malah ada yang tidak makan langsung kerana kekangan wang. Jadi saya sangat menghargai usaha ini kerana ia meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui Bernama.

Muhammad Syuwari berkata menu set Nasi Mekdi yang lengkap dengan nasi, kari kentang, telur, Ayam Tenders McD Pedas dan teh ais lemon bukan sahaja mengenyangkan tetapi juga berkhasiat untuk pelajar.

Nurul Athirah Abdul Razab, 23, dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula berkata program berkenaan membantu meringankan beban kewangan pelajar yang perlu mengimbangi kos sara hidup yang tinggi di kampus.

“Selain makanan, saya juga perlu menampung kos pengangkutan, data internet dan macam-macam lagi, jadi dengan adanya program ini ia serba sedikit membantu meringankan beban perbelanjaan saya,” katanya.

--BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan