JOHOR BAHRU, 15 Feb (Bernama) -- Pengagihan air secara berjadual atau Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian diteruskan dengan jadual baharu bermula esok hingga 28 Feb ini.
Menurut Operator Air Johor Ranhill SAJ pelaksanaan itu susulan paras tadahan Empangan Machap menunjukkan trend penurunan dan pada tahap pemantauan rapi.
Menurut syarikat itu pengagihan bekalan air akan dilaksanakan mengikut ketetapan 24 jam dengan bekalan air manakala 48 jam berikutnya tiada bekalan air.
“Pembahagian bekalan adalah mengikut zon dan jadual yang telah ditetapkan.
“Jadual bagi kedua-dua tempoh masa itu demi memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dilaksanakan secara terkawal selain menstabilkan operasi loji rawatan air dalam keadaan kapasiti yang terhad,” menurut kenyataan yang di muat naik di Facebook hari ini.
Menurut Ranhill SAJ Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam terus beroperasi dan membekalkan air terawat kepada pengguna namun kadar pengeluaran diselaraskan bagi menjamin kesinambungan bekalan secara menyeluruh dan mampan.
"Pelaksanaan BAB ialah langkah pengurusan sementara bagi memastikan agihan yang lebih adil dan mencukupi kepada semua kawasan terlibat sepanjang tempoh kemarau.
"Sehubungan itu, para pengguna dinasihati supaya menggunakan air secara berhemah, mengelak pembaziran dan menyimpan bekalan secukupnya untuk kegunaan asas,” menurut kenyataan itu.
Menurut syarikat itu bekalan air alternatif melalui lori tangki, tangki statik dan air mineral masih aktif digerakkan mengikut keperluan di lokasi strategik.
BAB mula dilaksanakan 7 Feb lepas dengan bekalan air disalurkan selama 36 jam diikuti 36 jam berikutnya tanpa bekalan air.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial