AM > BERITA

Ahli Kaligrafi Terus Hidupkan Tradisi Pada Usia 71 Tahun

15/02/2026 02:24 PM

Oleh Rozlin Rusharmeen Rosmin

KUCHING, 15 Feb (Bernama) -- Selama lebih lima dekad, kaligrafi Cina bukan sekadar hobi bagi Kho Kheng Hee tetapi disiplin sepanjang hayat bertunjangkan budaya dan pemantapan diri. 

Menjelang Tahun Baharu Cina 2026 yang menyambut kedatangan Tahun Kuda, ahli kaligrafi berusia 71 tahun itu sibuk mencoret kata-kata indah dan aksara kemakmuran, suatu tradisi yang beliau percaya membawa makna lebih mendalam daripada hiasan biasa.

"Kaligrafi bukan sekadar tulisan. Ia mengandungi perasaan dan pengertian," katanya kepada Bernama.

Dilahirkan dalam keluarga sederhana pada 1955 di Kuching, Kho mula meminati lukisan dakwat China dan kaligrafi ketika belajar di di Sekolah Menengah Chung Hua No.1.

Kekangan kewangan mendorong beliau untuk menumpukan kerjaya dalam industri pengiklanan namun minatnya pada seni tersebut tidak pernah pudar.

"Bertahun-tahun saya menyukai kaligrafi namun saya tidak faham sepenuhnya teknik yang betul," kata Kho sambil menambah selepas beliau memperoleh ijazah sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan pada awal 2000, beliau memutuskan untuk mendapatkan latihan formal dalam kaligrafi bagi memantapkan lagi pemahamannya.

Sekitar 2017 dan 2019, beliau pergi ke China setiap dua bulan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Jinan di Guangzhou sebelum meraih ijazah sarjana kesenian dalam kesusasteraan di Universiti Northwest di Xi'an pada usia 64 tahun.

Presiden Persatuan Promosi Kebudayaan dan Kesenian China Kuching itu berkata beliau hanya mula mengajar kaligrafi kira-kira empat tahun lepas sambil menekankan bahawa keseimbangan dan fokus sama pentingnya dengan teknik.

"Anda tidak boleh mengajar jika tidak benar-benar faham. Ia bukan sekadar lulus universiti dan terus menjadi guru. Anda mesti benar-benar menguasai seni tersebut sebelum mengajar orang lain," kata bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Bagi sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, Kho berkata banyak bait-bait yang dikarangnya menerapkan elemen kuda atau "ma" dalam Mandarin yang membawa simbol kekuatan, kepantasan, ketabahan dan kemajuan.

Kho menekanan bahawa pemilihan kata-kata yang tepat bagi kuplet Tahun Baharu Cina sama pentingnya dengan menghasilkan goresan yang cantik serta menyamakan proses itu seperti mengarang pantun dalam budaya Melayu, iaitu pemilihan perkataan dengan teliti bagi memberikan makna dan nilai yang berlapis.

"Tahun Kuda membawa makna bergerak ke hadapan dengan tenaga dan tekad. Jadi, perkataan yang dipilih harus melambangkan semangat itu.

"Anda perlu memilih kata-kata terbaik. Ayatnya mesti mempunyai makna, tidak sekadar indah dipandang. Jika tiada perasaan atau emosi, penulisan itu tidak memiliki jiwa," kata Kho yang mempunyai kepakaran dalam tulisan separuh kursif atau "xingshu". 

Antara pelajar beliau ialah Jeff Ng, 49, yang kembali mendalami kaligrafi selepas kali terakhir mempelajari lukisan dakwat Cina pada sekolah menengah. Bagi Ng, mempelajari kaligrafi meningkatkan penghargaannya pada struktur dan makna aksara. 

"Satu manfaat bermakna adalah dapat mencipta karya eksklusif sebagai hadiah terutamanya ketika perayaan Tahun Baharu Cina. Tulisan tangan sebagai doa dirasakan lebih ikhlas," katanya.  

Menurut Kho, musim perayaan ialah masa paling sibuk baginya apabila beliau perlu menyiapkan 50 hingga 80 set kuplet dengan kata-kata yang membawa simbol kemakmuran, harmoni dan pembaharuan dengan tahun ini menekankan motif kuda.

Beliau berkata bait-bait yang ditampal pada pintu utama menjadi peringatan harian pada harapan dan nilai bagi tahun baharu yang mendatang sekali gus membantu dalam membentuk minda positif.

Meskipun hiasan bercetak kini mudah didapati, Kho percaya kaligrafi tulisan tangan mempunyai sentuhan peribadi yang tidak boleh ditiru secara digital.

Sebagai hakim pertandingan kaligrafi di sekolah, beliau menyaksikan peningkatan penyertaan termasuk daripada kalangan pelajar bukan Cina namun mengingatkan bahawa pembelajaran perlu diberikan keutamaan berbanding kemenangan.

"Saya harap lebih ramai orang muda akan terus menghargai kebudayaan dan falsafah mendalam kaligrafi Cina terutamanya semasa Tahun Baharu Cina," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan