AM > BERITA

21,049 Pekebun Terima Manfaat Program Budi Agri-Komoditi Di Johor

15/02/2026 03:48 PM

BATU PAHAT, 15 Feb (Bernama) -- Sebanyak 21,049 pekebun kecil di Johor telah menerima manfaat subsidi tunai melalui program Budi Agri-Komoditi bertujuan membantu golongan berkenaan sejajar peranan mereka sebagai tulang belakang sektor agrikomoditi negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata program berkenaan yang digerakkan menerusi Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) telah menerima 29,048 permohonan setakat 31 Jan lepas, dan permohonan masih lagi dibuka.

Beliau berkata bagi setiap permohonan yang berjaya, pekebun kecil akan menerima subsidi tunai sebanyak RM2,400 bagi memastikan golongan sasar itu terus dibantu dalam menghadapi kenaikan harga terutamanya mereka yang terkesan secara langsung dengan rasionalisasi bahan api diesel.

“Mereka yang menerima manfaat ini terdiri daripada mengusahakan tanaman kelapa sawit, getah, koko, lada dan kenaf yang perlu mematuhi syarat kelayakan antaranya warganegara Malaysia, berdaftar dengan agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

“Antara agensi berkenaan ialah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN),” katanya ketika berucap pada program BUDI Agri-Komoditi Sektor Perladangan di Parit Sulong, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid.

Noraini yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata antara syarat lain ialah pekebun perlu mengusahakan tanah dengan keluasan tidak melebihi had ditetapkan mengikut sektor iaitu hingga 4.5 hektar bagi pekebun kecil sawit dan getah persendirian serta 2.5 hektar bagi pekebun kecil koko, lada dan kenaf persendirian.

"Mereka juga perlu mengusahakan pengeluaran secara aktif dan berterusan dengan nilai jualan tahunan antara RM50,000 hingga RM300,000," katanya.

Sementara itu, seorang penerima subsidi Puziah Ma’an, 57, berkata dia menjadi antara individu terawal menerima bantuan berkenaan sebanyak RM200 setiap bulan, menganggap ia sebagai satu usaha kerajaan bagi membantu rakyat.

“Baru dua hari lepas saya mohon dan hari ini bantuan sudah diluluskan, sekali gus akan menampung kos ditanggung bagi penanaman semula kelapa sawit yang telah berusia lebih 15 tahun, yang menjadi pendapatan utama kami sekeluarga,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan