AM > BERITA

Pembangunan Weld Quay Waterfront Perlu Patuhi Garis Panduan Warisan - Chow

15/02/2026 06:48 PM

GEORGE TOWN, 15 Feb (Bernama) -- Cadangan pembangunan Weld Quay Waterfront di sini mesti mematuhi sepenuhnya garis panduan warisan memandangkan ia terletak dalam zon penampan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata walaupun tapak seluas 5.36 hektar itu terletak di luar zon teras warisan, ia masih tertakluk kepada kawalan yang ditetapkan pihak berkuasa warisan negeri dan negara.

“Terdapat peraturan yang mengawal pembangunan di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO dan terpulang kepada kreativiti serta inovasi pemaju bagaimana untuk membangunkan projek istimewa yang bersesuaian dengan status tersebut.

“Dalam George Town, had ketinggian 18 meter terpakai dan pemaju akan mendapati ia mencabar kerana itulah kadar pembangunan yang dibenarkan di atas lot tanah ini. Namun, terdapat banyak projek dalam Tapak Warisan Dunia George Town yang telah dibangunkan atau sedang dibangunkan dengan mengambil kira sekatan ini,” katanya pada sesi libat urus pembangunan Weld Quay Waterfront di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S. Sundarajoo serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) Roslan Hassan.

Chow yang juga Pengerusi PDC berkata pelaksanaan proses permintaan untuk cadangan (RFP) yang sedang berjalan sebagai langkah strategik untuk merangsang pemulihan semula kawasan tebingan air, di samping melengkapi ciri sejarah dan budaya George Town.

Beliau berkata setiap pembangunan mesti menghormati sejarah dengan pemodenan perlu seiring pemeliharaan dan memandangkan lokasinya yang berhampiran jeti-jeti klan serta mercu tanda bersejarah lain, kepekaan terhadap warisan dan reka bentuk berasaskan konteks akan menjadi teras dalam perancangan serta pelaksanaan pembangunan ini.

“Terletak di sepanjang kawasan pesisir menghadap tanah besar, tapak ini dihubungkan dengan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan menyediakan akses ke pusat bandar serta Jambatan Pulau Pinang. Kesalinghubungan dijangka bertambah baik dengan pembinaan stesen LRT di Macallum, yang akan menghubungkan kawasan ini ke Penang Sentral,” katanya dan memaklumkan projek ini dijangka mengambil masa lima tahun.

Beliau berkata pembangunan bercampur itu dijangka memberikan hasil yang mampan, termasuk skim perumahan terancang yang bertujuan meningkatkan taraf hidup sambil mengoptimumkan nilai tanah melalui pembangunan semula yang bertanggungjawab.

“Tapak yang dicadangkan merangkumi kira-kira 5.36 hektar di Seksyen 23, Daerah Timur Laut. Kira-kira 4.9 hektar daripada tanah itu dimiliki pihak berkuasa negeri, manakala baki 0.49 hektar di bawah PDC,” katanya.

Chow berkata tapak projek ini terletak di hujung Pengkalan Weld, selepas jeti-jeti klan dan sebelum Gat Lebuh Macallum dengan tapak itu kini menempatkan kira-kira 200 rumah kampung yang dihuni oleh keluarga yang telah menetap di situ selama lebih tiga generasi.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada proses RFP, pemindahan penduduk setinggan Weld Quay dan Cecil Residency telah selesai, dengan penduduk terjejas dipindahkan ke Cecil Residency yang dibina berdekatan.

“Sekurang-kurangnya pemindahan penduduk telah pun diselesaikan, itulah kelebihan projek ini dan pemaju tidak perlu risau tentang cara pemindahan. Namun, pemaju perlu membayar kembali kepada PDC kerana PDC telah mengambil tanggungjawab itu,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui PDC, telah menetapkan harga rizab bagi tanah itu sebagai penilaian asas, sambil menggesa pihak berminat untuk mengemukakan bidaan yang kompetitif dan mengambil kira sumbangan tambahan yang dijamin bagi meningkatkan nilai keseluruhan projek tersebut.

Katanya setakat ini, empat set dokumen tender bernilai RM5,000 setiap satu telah dijual dengan tarikh akhir penyerahan tender ditetapkan pada 26 Mac dan tender ini terbuka kepada syarikat atau konsortium tempatan serta antarabangsa.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan