AM > BERITA

JPN Serah Sijil Kelahiran Kepada Enam Beradik Di Cherating

15/02/2026 08:02 PM

KUANTAN, 15 Feb (Bernama) -- Enam beradik berusia 11 hingga 23 tahun di Cherating, di sini yang tiada dokumen diri menerima sijil kelahiran masing-masing hari ini selepas melalui proses pendaftaran lewat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Pahang.

JPN Pahang dalam kenyataan memaklumkan kes berkenaan melibatkan enam anak Hazlina Husin yang sebelum ini tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan, sekali gus menjejaskan akses mereka kepada pendidikan, peluang pekerjaan serta kemudahan dan bantuan kerajaan. 

“Sebagai ibu tunggal, Hazlina turut berdepan cabaran menyara keluarga termasuk menjaga seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) yang terlantar,” menurut kenyataan itu. 

Penyerahan sijil berkenaan disempurnakan Ketua Pengarah JPN Badrul Hisham Alias di kediaman keluarga Hazlina sejajar dengan pendekatan inklusif dan ihsan yang digariskan Kerajaan MADANI.

Menurut kenyataan itu, JPN Pahang telah melaksanakan siasatan awal berhubung ketiadaan dokumen pengenalan diri enam beradik berkenaan pada 28 Jan lepas di kediaman mereka dengan kerjasama Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang.

“Semakan awal mendapati antara faktor utama kelewatan pendaftaran kelahiran adalah kekangan berkaitan pengesahan perkahwinan ibu bapa, memandangkan dokumen perkahwinan yang sah di sisi undang-undang Malaysia merupakan antara dokumen diperlukan dalam proses pendaftaran kelahiran,” menurut kenyataan itu. 

JPN Pahang memaklumkan Hazlina bersama lima anaknya, penganjur serta saksi hadir ke JPN Pahang di sini bagi melengkapkan proses permohonan Daftar Lewat Kelahiran termasuk sesi temu duga pada 3 Feb lepas.

Selain itu, Pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) JPN Pahang turut digerakkan ke kediaman keluarga itu pada 11 Feb bagi menguruskan pendaftaran secara terus bagi seorang lagi anaknya yang berstatus OKU.

“JPN Pahang komited memastikan setiap warganegara yang layak memperoleh dokumen pengenalan diri mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa serta menyeru masyarakat supaya memastikan setiap peristiwa penting termasuk kelahiran, perkahwinan dan kematian didaftarkan dalam tempoh ditetapkan bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan