AM > BERITA

Utamakan Keselamatan Dalam Talian, Kementerian Komunikasi Junjung Titah Raja Permaisuri Agong

16/02/2026 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menjunjung titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah yang mahu keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam maya diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan masyarakat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara berkenaan sememangnya menjadi keutamaan Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa pada 1 Jan lepas, pihaknya telah memanggil semua pengendali platform media sosial untuk memahami instrumen subsidiari yang ada dalam akta berkenaan. 

“Mereka juga, dalam masa yang tidak terlalu lama, perlu melakukan perubahan bagi mengekang anak-anak bawah usia 16 tahun daripada memiliki dan membuka akaun media sosial,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah Ramadan 2026 Edisi Ke-14 di sini, hari ini. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Suhaimi Sulaiman. 

Fahmi berkata melalui akta berkenaan, pengendali platform juga perlu menghalang iklan judi dalam talian, penipuan, deepfake kecerdasan buatan (AI) serta aktiviti lain yang membahayakan pengguna.

“Kita dapati dengan akses kepada Internet yang laju, murah dan meluas serta peranti yang semakin hari semakin murah dan mampu dimiliki, maka kita juga terdedah kepada banyak elemen jenayah dan tidak sihat dalam media sosial.

“Kita juga dapati banyak berlaku buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Sebelum ini, Raja Permaisuri Agong bertitah mahu keselamatan kanak-kanak dan remaja di alam maya diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa dan masyarakat kerana perkara itu boleh menjadi ruang amat toksik dan memberikan kesan buruk.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan dan keprihatinan tentang isu kesihatan mental yang semakin menular serta menunjukkan kesan negatif, terutama terhadap kanak-kanak dan remaja.

Terdahulu, Fahmi melancarkan Jelajah Ramadan 2026 anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia yang  berlangsung selama 20 hari bermula hari ini hingga 8 Mac.

Memasuki edisi ke-14, Jelajah Ramadan 2026 melibatkan 15 kenderaan dan kira-kira 40 kru termasuk juruhebah serta selebriti undangan yang akan menjelajah ke 30 lokasi di zon utara, selatan, tengah, timur, Sabah dan Sarawak.

Mula dilaksanakan sejak 2012, program ini mencatat sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Terpanjang di Malaysia dengan pelaksanaan 38 aktiviti di seluruh negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan