AM > BERITA

Daripada Alam Kepada Ekonomi Hijau, KOPEL Ubah Komuniti Mukim Batu Puteh

17/02/2026 02:15 PM

Oleh Suraidah Roslan

KINABATANGAN, 17 Feb (Bernama) -- Tiga dekad yang lepas, anak-anak muda di Mukim Batu Puteh hanya mampu melambai dari tebing sungai, menyaksikan bot pelancong asing menyusuri Sungai Kinabatangan tanpa sebarang limpahan ekonomi buat komuniti setempat, namun hari ini, pemandangan itu berubah sama sekali.

Mukim kecil yang dikelilingi hutan simpan itu kini menjadi contoh kejayaan pelancongan komuniti bertaraf dunia, diterajui sepenuhnya oleh penduduk tempatan melalui Koperasi Pelancongan Mukim Batu Puteh (KOPEL) Bhd yang ditubuhkan secara rasmi pada 2003.

Lebih membanggakan, Batu Puteh dinobatkan sebagai Kampung Pelancongan Terbaik oleh Pertubuhan Pelancongan Dunia (UNWTO) pada 2021, seterusnya membuka jalan untuk bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan bagi membolehkan Hutan Simpan Pin Supu menerima pensijilan Senarai Hijau Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN).

Pengurus Besar KOPEL Bhd Saidal Udin, 43, berkata idea penubuhan koperasi itu bermula pada 1996 menerusi inisiatif Model Ekologi, Komuniti dan Konservasi Pelancongan (MESCOT) yang memberikan kesedaran serta membuka mata penduduk bahawa alam semula jadi boleh menjadi sumber rezeki jika diurus dengan bijak.

Bermula dengan program inap desa, KOPEL kini menawarkan lima jenis penginapan unik, termasuk eco camp, super camp, Mandaa Stay dan hammer camp, disesuaikan dengan keperluan pelancong antarabangsa yang menggemari pengalaman berada dekat dengan alam.

Saidal berkata antara tarikan utama ialah aktiviti menyusuri Sungai Kinabatangan bagi melihat hidupan liar ikonik yang digelar The Big Five, iaitu gajah pigmi, orang utan, monyet belanda (proboscis), burung enggang dan buaya.

Katanya, kawasan Kinabatangan yang pernah diiktiraf antara lokasi terbaik di Asia Tenggara untuk pemerhatian hidupan liar menjadi kekuatan utama pelancongan komuniti di Mukim Batu Puteh dan kini KOPEL menerima kira-kira 3,000 hingga 4,000 pelawat setahun dengan sebahagian besar terdiri daripada kumpulan pelajar antarabangsa.

Namun, keunikan sebenar KOPEL bukan sekadar keindahan alam, sebaliknya terletak pada penerapan model Ekonomi Hijau kerana pelancong bukan sahaja datang untuk menikmati pemandangan, malah turut dilibatkan secara langsung dalam aktiviti konservasi seperti penanaman pokok, pemantauan kualiti air dan pemulihan gua.

“Ini bukan gimik pelancongan, tetapi realiti ekonomi hijau yang mencipta peluang pekerjaan dan memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam dalam kalangan penduduk,” katanya.

Reputasi yang dibina sejak sekian lama turut menarik kerjasama akademik dengan universiti terkemuka dunia termasuk University of San Francisco dari Amerika Syarikat, National University of Singapore dan Rakuno Gakuen University dari Jepun.

Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, Saidal bertekad untuk terus mempergiatkan promosi pelancongan di Sungai Kinabatangan bagi menarik lebih ramai pelancong menyaksikan sendiri hidupan liar ikonik Sabah.

Bagi menjamin kelestarian ekonomi jangka panjang, KOPEL mula mempelbagaikan sumber pendapatan dengan menceburi sektor perladangan dan pertanian antaranya mengusahakan Ladang Kelapa Sawit Seri Butong seluas 283 hektar sejak akhir tahun lepas.

Selain itu, KOPEL juga memberikan tumpuan kepada tanaman Durian Merah atau Marang yang sinonim dengan pantai timur Sabah, malah bercadang untuk mempromosikan buah eksotik itu secara komersial, sekali gus mengurangkan kebergantungan sepenuhnya pada sektor pelancongan.

Pengurus Operasi KOPEL Bhd Mohd Faijan Mustapah, 34, berkata hampir 90 peratus petugas koperasi itu terdiri daripada anak muda berusia bawah 40 tahun yang berkerja sebagai pemandu pelancong alam semula jadi, pemandu bot, serta dalam bidang pengurusan dan konservasi hutan.

Faijan sendiri memulakan kerjaya sebagai pemandu alam semula jadi selama tujuh tahun sebelum beralih ke bahagian pengurusan, pengalaman yang bukan sahaja membentuk kemahirannya, malah turut menyemai minat mendalam terhadap fotografi hidupan liar dan pemerhatian burung.

Beliau berkata golongan muda yang kurang mahir berbahasa Inggeris atau tidak berpendidikan tinggi masih mempunyai peluang untuk bekerja dalam bidang penyelenggaraan dan pembersihan di KOPEL. 

Bagi pemandu bot, Mohd Hasri Raman, 47, penyertaan dalam KOPEL menjadi titik perubahan besar dalam kerjayanya yang sebelum ini nelayan kerana berpeluang berinteraksi dengan pelancong dari pelbagai negara, sekali gus membolehkannya belajar bahasa asing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan