AM > BERITA

Suasana Meriah Warnai KLIA Terminal 1 Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina

17/02/2026 11:57 AM

SEPANG, 17 Feb (Bernama) -- Suasana meriah mewarnai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, hari ini, dengan pelbagai program sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 yang diraikan bersama pelancong tempatan dan antarabangsa yang tiba di Malaysia. 

Persembahan tarian singa beserta paluan gendang bergema di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 menambahkan lagi kemeriahan suasana program sambutan anjuran Tourism Malaysia itu yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing. 

Tiong bersama kepimpinan tertinggi Tourism Malaysia turut menyampaikan cenderamata bertemakan sambutan Tahun Baharu Cina dan Tahun Melawat Malaysia (VM2026) kepada para pelancong yang tiba di Malaysia sebagai tanda penghargaan. 

Tiong ketika ditemui pemberita berkata program berkenaan diadakan bagi meraikan pelancong antarabangsa dan tempatan yang tiba di Malaysia sempena Tahun Baharu Cina. 

“Terima kasih kepada semua rakan penggiat industri dan lain-lain yang hadir bersama di KLIA Terminal 1 untuk kita ucapkan selamat datang kepada pelancong antarabangsa ataupun rakyat tempatan yang kembali ke Malaysia. Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati pelancong juga dilihat tidak melepaskan peluang bergambar di kawasan dekorasi khas Tahun Baharu Cina yang unik dengan tema merah di Balai Ketibaan Antarabangsa.  

Maskot rasmi VM2026, Wira dan Manja turut mencuri perhatian dengan pelawat mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan dengan maskot Beruang Matahari itu yang merupakan spesis unik terdapat di kawasan tropika Asia Tenggara termasuk Malaysia

Menerusi kempen VM2026, Malaysia menyasar menarik 43 juta pelawat antarabangsa sepanjang tahun ini selari dengan usaha berterusan memperkukuh sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan