AM > BERITA

Bakar Biskut "Heong Peng" Guna Tempayan Tanah Liat Jadi Tarikan Di Tambun

17/02/2026 01:11 PM

Oleh Mohamad Harith Mohamad Nizar

IPOH, 17 Feb (Bernama) -- Kedai biskut dan kuih, IXiang Biscuits and Confectionery, di Jalan Tambun Baru di sini, sememangnya sudah tidak asing bagi penggemar biskut Ma Ti Su atau lebih dikenali sebagai Heong Peng oleh masyarakat di sini.

Perniagaan yang mempunyai sejarah lebih 40 tahun itu masih mengekalkan kaedah pembuatan biskut yang dibakar secara tradisional menggunakan tempayan tanah liat dengan bahan bakarnya daripada arang dan tempurung kelapa.

Perniagaan itu kini dikendalikan oleh Teoh Seng Nyap, 47, bersama-sama rakan kongsinya Liew Ming Foon, 54, yang juga abang iparnya dan kakaknya Teoh Fei Looi, 54, iaitu isteri kepada Liew.

Liew berkata aroma wangi yang terhasil daripada pembakaran biskut itu menjadi daya tarikan utama pelanggan yang ingin mencari biskut tradisional, terutama pada Tahun Baharu Cina, berbanding biskut lain yang kebanyakannya dihasilkan menggunakan mesin.

Katanya, kemahiran membuat biskut secara tradisional itu telah diwarisi sejak sekian lama dan masih dikekalkan keluarganya bagi memastikan kualiti biskut yang rangup, tidak terlalu manis dan mempunyai tekstur yang unik.

“Setiap sesi pembakaran di dalam ketuhar khas tanah liat mampu menghasilkan kira-kira 120 biji biskut dalam tempoh satu jam, dengan kapasiti pengeluaran harian mencecah purata 1,200 biji bagi memenuhi permintaan pelanggan yang datang ke kedai,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Seng Nyap berkata biskut itu dihasilkan menggunakan bahan-bahan asas seperti bawang, maltosa, gula dan tepung tanpa melibatkan proses menggunakan mesin yang rumit. 

Proses pembuatan biskut itu katanya, memerlukan ketelitian tinggi, terutamanya dalam menyediakan dua jenis doh berbeza yang dipanggil pei (campuran tepung dan air) serta sor (campuran minyak dan tepung) yang kemudiannya dicampurkan dan digaul bagi mendapat tekstur biskut yang sempurna sebelum dimasukkan inti.

Seng Nyap berkata biskut itu dinamakan Ma Ti Su bagi merujuk kepada bentuk biskut yang menyerupai kaki kuda, manakala gelaran Heong Peng yang bermaksud biskut wangi dalam dialek Kantonis lebih popular digunakan oleh masyarakat di Ipoh dan Kuala Lumpur.

Nama biskut itu, katanya, berbeza mengikut negeri dan kawasan, sebagai contoh di Taiping, Pulau Pinang dan Johor lebih mengenali biskut itu dengan nama asli, Ma Ti Su.

Seng Nyap berkata kedainya itu menawarkan biskut pada harga RM11 untuk lapan keping, manakala biskut dengan pembungkusan individu, yang biasanya dijadikan sebagai hadiah, dijual pada harga RM12. 

“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, permintaan biasanya akan meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa sehingga jualan mencecah lebih 200 hingga 300 bungkus sehari kerana penduduk ramai pulang ke kampung halaman selain pembelian oleh pelancong,” kata Seng Nyap.

Liew pula berkata, “Kedai ini turut menjual pelbagai jenis keropok, chicken floss rollers, tau sar piah berinti kacang, tart nanas, dan paf kaya, tetapi pelanggan yang datang selalunya akan cari Heong Peng kita.” 

Mengulas tentang masa depan biskut tradisional itu, Liew yang mempelajari kaedah pembuatannya sejak berumur 14 tahun berkata cabaran utama ialah tidak ramai generasi muda sanggup berhadapan dengan persekitaran kerja yang mencabar dan panas ketika membakar biskut.

“Setakat ini, teknik membuat Heong Peng dengan cara tradisional tidak dapat menarik minat generasi masa kini kerana mereka enggan bersusah-payah dan menahan panas daripada ketuhar tanah liat yang digunakan,” katanya.

Kedai itu beroperasi setiap hari bermula dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang, kecuali pada Rabu yang dikhaskan sebagai hari rehat bagi proses pembuatan biskut.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan