KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina yang diraikan pelbagai kaum di negara ini menyerlahkan semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan yang wujud sejak sekian lama.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sekali lagi menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran MCA di Wisma MCA yang menghimpunkan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana penuh kemesraan.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Hidangan tradisi, persembahan budaya dan keakraban sahabat daripada pelbagai latar belakang benar-benar menggambarkan wajah Malaysia yang berbeza budaya, namun berkongsi rasa hormat, kegembiraan dan semangat kekitaan yang sama,” katanya menerusi catatan Facebook.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan pada hari pertama Tahun Baharu Cina bukan sekadar memenuhi undangan, tetapi sebagai tanda menghargai persahabatan dan memelihara silaturahim yang telah lama terjalin.
"Bagi saya, kunjungan ini bukan hanya tentang juadah dan kemeriahan, tetapi tentang duduk semeja, bertanya khabar, berkongsi cerita dan mengeratkan lagi hubungan yang mungkin jarang-jarang bertemu dek kesibukan tugas.
"Dalam suasana penuh warna merah dan senyuman, terasa indahnya kepelbagaian yang menyatukan kita semua sebagai satu keluarga besar di Sarawak," katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kepelbagaian budaya menjadi kekuatan negara serta menggalakkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kementerian dan rakyat sempena musim perayaan.
Beliau turut menyediakan 1,000 kotak limau mandarin kepada warga kementerian sebagai tanda penghargaan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula meluangkan masa menziarahi seorang tokoh yang telah dikenali sejak zaman persekolahan di Papar, Sabah, iaitu Aunty Lu Wong Siew, seorang pengusaha salun rambut.
Armizan berkongsi bahawa Lu yang berusia 87 tahun itu sering menggunting rambut beliau di kedai berkenaan dan turut menyediakan solekan untuk arwah ibunya ketika majlis perkahwinan.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya mengambil inspirasi daripada Tahun Kuda Api dalam kalendar Cina 2026, iaitu kuda melambangkan ketangkasan dan keberanian, manakala api melambangkan semangat yang membara untuk memacu ketangkasan dan semangat dalam budaya kerja serta pembangunan tanah air.
“Yang paling penting juga, sama-sama kita jaga dan pelihara keamanan, kemakmuran dan perpaduan semasa kita. Khusus untuk masyarakat Tionghua di seluruh negara, khususnya ‘PAPARian’, saya seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sambutan Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan, tetapi juga peluang untuk mengeratkan hubungan antara masyarakat dan memupuk semangat kebersamaan.
"Saya kira Tahun Baharu Cina bukan satu perayaan semata-mata tetapi jambatan yang merapatkan hubungan kita bersama-sama. Dalam waktu yang sama, kita mahu memberikan ruang kepada diri kita untuk memperbaiki dan memperkukuh silaturahim dan menyemai semangat kebersamaan," kata beliau.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut menyampaikan ucapan ringkas kepada rakyat dengan harapan supaya semangat kebersamaan terus diperkukuh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial