AM > BERITA

156,033 Kes Rentan Ditangani Menerusi PSSS - Nancy

18/02/2026 12:53 AM

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Sebanyak 156,033 kes melibatkan golongan rentan telah disantuni, dan diselesaikan melalui perkhidmatan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sejak Okt 2021 hingga Disember tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata keperluan terhadap perkhidmatan berkenaan kini pada tahap yang mendesak dalam menyediakan sokongan kesihatan mental, kaunseling, dan intervensi awal tanpa stigma.

“Sebab itu kita mempromosikan PSSS ini supaya menjadi satu platform maklumat kepada mereka yang berasa terganggu. 

“Masyarakat sekarang mengatakan inilah tekanan mental, jadi kita tidak mahu lebih ramai yang akan terkesan oleh perkara seperti ini,” katanya kepada pemberita pada Program Ihya Ramadan 2026/1447H di Petra Jaya, di sini malam ini.

Selain itu, beliau berkata kepekaan jiran dan masyarakat setempat amat penting dalam membantu menangani isu gangguan pemikiran serta tekanan emosi yang berlaku dalam komuniti.

“Kita sebagai komuniti yang hidup bersama dalam kawasan saling berkait dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku, antaranya dapat melihat petanda yang berlaku dalam kalangan jiran kita.

“Penduduk setempat boleh memainkan peranan penting dengan memberikan nasihat atau menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian lima sekeluarga ditemukan mati disyaki dibunuh di Taman Cerating Damai di Kuantan, Pahang hari ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dilaporkan berkata lelaki berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu dan dua anaknya menggunakan senjata tajam disyaki pisau sebelum bertindak mencederakan diri sendiri dan turut maut.

Dalam pada itu, Nancy berkata sejak Januari hingga hari ini, sekurang-kurangnya tujuh kes yang membabitkan ibu, isteri dan anak dibunuh di seluruh negara, dan setakat ini sebanyak tiga program jelajah di bawah PSSS telah dilaksanakan di Kuching tahun ini. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan