AM > BERITA

Menteri Kabinet Ucap Selamat Menyambut Ramadan, Seru Perkukuh Perpaduan

18/02/2026 08:16 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Barisan Menteri Kabinet hari ini menyampaikan ucapan salam Ramadan kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang akan memulakan ibadah puasa esok dengan menyeru agar bulan mulia ini dijadikan ‘madrasah’ untuk memperbaiki diri, memperkukuh ukhuwah dan mengelakkan pembaziran.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menerusi hantaran di platform X berkata bulan penuh keberkatan itu diharap dapat memberi ketenangan serta kesihatan yang baik kepada semua dalam menjalani ibadah sepanjang tempoh berpuasa.

“Ramadan Kareem! Moga kita dikurniakan ketenangan dan kesihatan yang baik sepanjang bulan mulia ini, serta segala amal ibadah diterima dan dilipatgandakan pahala,” katanya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi satu hantaran di Facebook berkata ibadah puasa bukan sekadar menahan diri, tetapi juga waktu terbaik untuk memperbaiki hubungan dengan pencipta dan sesama manusia.

“Semoga setiap doa yang dipanjatkan, setiap amal yang dilakukan, dan setiap air mata yang jatuh dalam diam menjadi asbab turunnya rahmat dan keampunan-Nya,” katanya.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata dalam semangat Malaysia MADANI, teras ihsan perlu dijadikan pegangan sepanjang Ramadan termasuk dalam tutur kata, tindakan dan cara melayani perbezaan.

“Kita harus ingat bahawa kekuatan sebuah negara lahir daripada rakyat yang saling memahami. Setiap kali kita memilih untuk memahami, kita sedang menyelamatkan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Turut menyampaikan ucapan ialah Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang mendoakan seluruh umat Islam diberikan kekuatan untuk meningkatkan amal ibadah sepanjang bulan yang penuh keberkatan dan maghfirah ini.

“Bulan yang istimewa dan sangat dinanti-nantikan tiba jua. Selamat menunaikan ibadah berpuasa,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan pula mendoakan agar Islam terus subur dan terjamin di bumi Malaysia.

“Semoga Ramadan 1447H membawa keberkatan dan mendekatkan kita kepada-Nya,” katanya dalam hantaran di Facebook yang turut memaparkan beliau menyertai Majlis Cerapan Hilal di Menara Kuala Lumpur, semalam.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dalam pesanan videonya mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan Ramadan sebagai musim pembaziran.

“Malaysia antara negara yang mempunyai kadar pembaziran makanan yang tinggi, maka jadikan puasa ini sebagai disiplin untuk menjadi manusia bertakwa,” katanya sambil menyeru masyarakat supaya memperbanyak sedekah, membaca al-Quran serta mendoakan keselamatan negara.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menyifatkan nilai kesabaran dan ketenangan yang dibawa oleh Ramadan sebagai pemangkin kepada keharmonian negara dan menggesa rakyat terus memupuk semangat saling membantu demi memperkukuh perpaduan nasional.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali pula berharap supaya Ramadan kali ini menjadi medan untuk umat Islam memperbanyak amal ibadah dan meningkatkan ketaqwaan kepada-Nya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan