AM > BERITA

KPM Terus Libat Urus Dengan Pengusaha Tadika, Ibu Bapa Perjelas Isu Murid Tahun Satu

18/02/2026 07:59 PM

GEORGE TOWN, 18 Feb (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan sesi libat urus bersama pengusaha tadika dan prasekolah swasta serta ibu bapa bagi memberikan penjelasan perkara berbangkit berhubung kemasukan murid tahun satu pada usia enam tahun.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya sentiasa terbuka menerima pandangan yang dibangkitkan oleh mana-mana pihak termasuk pengusaha tadika swasta yang dilaporkan belum berpuas hati dengan beberapa aspek dasar berkenaan.

Beliau berkata jika masih terdapat isu yang belum diselesaikan, KPM tidak mempunyai masalah untuk mengadakan sesi libat urus susulan bagi memastikan setiap persoalan dapat diperjelaskan.

" … kita sangat prihatin kepada semua isu yang dibangkitkan semasa sesi libat urus yang telah  berlangsung. Jika masih terdapat isu berbangkit kita akan adakan sesi itu lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka MADANI Tahun Baharu Cina PKR Pulau Pinang di Wisma PKR di Bayan Baru, di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Datuk Mohamad Abdul Hamid yang juga Timbalan Ketua Menteri I serta barisan kepimpinan parti negeri.

Media sebelum ini melaporkan KPM telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha tadika swasta bagi membincangkan strategi pelaksanaan kemasukan kanak-kanak berumur enam tahun ke tahun satu bermula pada 2027 selaras dengan pelaksanaan kurikulum baharu persekolahan.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada pengusaha tadika swasta yang menyambut baik dasar berkenaan dan menyokong aspirasi KPM dalam pelaksanaannya.

Beliau turut menjelaskan kemasukan murid berusia enam tahun ke tahun satu adalah bersifat pilihan dan bukan mandatori.

“Mana-mana ibu bapa yang merasakan anak mereka sudah bersedia untuk masuk ke tahun satu, tidak ada masalah. Yang lain kekal seperti biasa,” katanya.

Mengulas kebimbangan ibu bapa khususnya di luar bandar, Fadhlina berkata prasekolah di sekolah kerajaan masih menerima kanak-kanak berusia enam tahun seperti biasa dan tiada paksaan untuk meneruskan ke tahun satu lebih awal.

“Sesi libat urus ini memang berterusan. Jika ada perkara berbangkit dalam masyarakat, menjadi tanggungjawab KPM untuk menjelaskan supaya semua rakyat dapat menerima saranan dan dasar ini dengan baik,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan