AM > BERITA

Sama-Sama Hotel KLIA Sambut Tahun Baharu Cina Dengan Kuda, Kuda Padi Hidup

18/02/2026 09:14 PM

SEPANG, 18 Feb (Bernama) -- Suasana ceria dan meriah menyerikan Sama-Sama Hotel KLIA di sini sempena sambutan Tahun Baharu Cina apabila kehadiran tetamu dan pengunjung disambut dengan seekor kuda dan kuda padi hidup di pintu masuk hotel.

Lobi hotel itu ditransformasi menjadi lautan berwarna merah yang membawa tuah, melambangkan nasib baik, kebahagiaan dan kemakmuran.

Pengunjung yang terdiri daripada pelancong tempatan dan antarabangsa mengambil peluang merakam gambar kenangan bersama kuda dan kuda padi berkenaan, dan pada masa sama dihiburkan dengan persembahan kebudayaan tarian singa yang memukau.

Pengurus Besar Sama-Sama Hotel KLIA Sundralingam Kulendra berkata Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina adalah tradisi tahunan yang telah lama dilakukan oleh hotel itu, bertujuan meraikan sambutan berkenaan bersama tetamu serta komuniti setempat.

“Ini sememangnya tradisi tahunan kami untuk membuka pintu dan meraikan bersama tetamu serta komuniti sekitar.

“Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina mencerminkan komitmen kami bukan sahaja terhadap sambutan kebudayaan, malah perpaduan dan pemberian kembali kepada masyarakat. Seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, kami berbangga untuk mempamerkan kepelbagaian dan hospitaliti Malaysia yang kaya kepada dunia,” katanya kepada Bernama pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina dan Sambutan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hotel itu di sini hari ini.

Dalam semangat kebersamaan, hotel berkenaan meneruskan inisiatif (CSR) dengan kerjasama Pusat Jagaan Bodhi, Cheras, dengan menganjurkan satu perhimpunan perayaan khas untuk kanak-kanak kurang bernasib baik.

Program itu merangkumi hidangan perayaan, aktiviti interaktif serta detik yang tidak dapat dilupakan bersama kuda dan kuda padi, sekali gus mewujudkan detik kegembiraan buat kanak-kanak berkenaan di luar sambutan perayaan.

Bagi terus memperkaya sambutan itu, Sama-Sama Hotel KLIA telah mengatur empat sesi kaligrafi tradisional sepanjang bulan ini, dan tetamu dijemput menerima berkat tuah yang diperibadikan dan ditulis tangan oleh ahli kaligrafi mahir.

Dengan persembahan yang meriah, sajian kulinari perayaan serta hiasan yang menakjubkan, sambutan Tahun Baharu Cina di hotel itu mencerminkan tenaga dan keazaman yang dilambangkan oleh kualiti kuda, yang menunjukkan usaha hotel untuk kecemerlangan ketika Malaysia bersiap sedia menyambut dunia pada 2026.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan