AM > BERITA

Tun Abdul Hamid Tinggalkan Legasi Kehakiman Dan Intelektual, Penulis Prolifik

19/02/2026 05:17 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Tun Abdul Hamid Mohamad yang meninggal dunia hari ini adalah tokoh disegani dalam bidang kehakiman dan perundangan serta penulis beberapa buku mencerminkan pemikirannya tentang undang-undang serta kehidupan sekali gus meninggalkan legasi intelektual yang dihormati.

Dilahirkan pada 18 April 1942 di Kampung Permatang Tinggi Bakar Bata, Kepala Batas, Pulau Pinang, bekas Ketua Hakim Negara yang dikenali dengan moto "Buat Kerja" itu menerima  pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Keladi sebelum melanjutkan persekolahan di St. Xavier's Institution dan kemudian memperoleh ijazah undang-undang daripada Universiti Singapura pada 1969.

Allahyarham yang meninggal dunia pada usia 83 tahun memulakan kerjaya dalam badan kehakiman sebagai Majistret pada 1969, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi (1975) dan Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (1988) sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1990 di Pulau Pinang.

Abdul Hamid kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, Hakim Mahkamah Rayuan (2000), Hakim Mahkamah Persekutuan (2003) dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 5 Sept 2007.

Allahyarham dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada 1 Nov 2007 pada usia 65 tahun, jawatan tertinggi dalam badan kehakiman negara dan sepanjang perkhidmatannya beliau dikenang sebagai seorang hakim yang tegas, berprinsip serta komited dalam mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham telah menulis 555 penghakiman termasuk 457 di Mahkamah Tinggi, 53 di Mahkamah Rayuan dan 27 di Mahkamah Persekutuan selain menerbitkan lebih 504 ucapan dan kertas kerja berkaitan kehakiman. 

Semasa menjawat jawatan Ketua Hakim Negara, Abdul Hamid menulis beberapa penghakiman penting berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk kes Latifah Mat Zin lwn Rosmawati Sharibun (2007) 5 MLJ 101, Abdul Kahar Ahmad lwn Kerajaan Negeri Selangor & Anor [2008] 4 CLJ 309 dan Sulaiman Takrib lwn Kerajaan Negeri Terengganu (2009) 6 MLJ 354.

Kesemua penghakiman ini kemudiannya dihimpunkan dalam sebuah naskhah bertajuk Konflik dan Pengharmonian setebal 508 halaman, yang terus menjadi rujukan penting dalam bidang kehakiman dan perundangan negara selain turut aktif dalam penulisan dengan menghasilkan lapan buah buku.

Antara karya beliau ialah I Will Never Beg, Saya Tidak Akan Melutut, The Truth Shall Prevail, Konflik dan Pengharmonian, Buat Kerja, Hakim Bukan Parlimen, No Judge Is A Parliament serta Baca dan Fikir yang mencerminkan pemikiran serta pandangan beliau terhadap bidang perundangan dan kehakiman negara.

Abdul Hamid turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan oleh Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Syariah dan Kehakiman oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Utara Malaysia, UNITEN dan UKM.

Selain itu, Abdul Hamid menerima Anugerah Sumbangan Sepanjang Hayat kepada Kewangan Islam 2004 oleh Kuala Lumpur Islamic Finance Forum (KLIFF) dan dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Peringkat Nasional pada 2015 atas sumbangannya kepada Islam di peringkat nasional dan antarabangsa.

Allahyarham Abdul Hamid turut memegang pelbagai jawatan penting di peringkat nasional.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) selama dua tahun dan Ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Februari 2009 dan Ahli Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia bagi 2010 hingga 2013.

Beliau juga dilantik sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti bagi tempoh dua tahun bermula 1 Julai 2012 dan Pengerusi Jawatankuasa Khas untuk mengkaji isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia pada 4 Ogos 2012.

Allahyarham meninggalkan isteri Toh Puan Hamidah Choong Abdullah dan empat anak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan