AM > BERITA

Johor Cadang Bina Jajaran Penting Dahulu Jika Projek ART Diluluskan - Exco

21/02/2026 11:02 AM

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

ISKANDAR PUTERI, 21 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor mencadangkan agar projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) dimulakan dengan pelaksanaan di jajaran penting terlebih dahulu jika projek itu mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan ART disegerakan bagi menyuraikan lalu lintas di kawasan terlibat seiring pengoperasian projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada 2027.

“Kawasan Tebrau paling sesak... kita mungkin boleh utamakan dahulu jajaran ini, dan seterusnya fokus ke jajaran yang lain.

“Sebagai contoh, jika jajarannya melibatkan laluan kira-kira 20 kilometer, kita boleh buat secara pakej dan kontraktor boleh bekerjasama mempercepat pembinaan,” katanya kepada Bernama di pejabatnya di Kota Iskandar baru-baru ini.

 Beliau berkata pada mulanya, kerajaan negeri mencadangkan tiga jajaran termasuk Skudai dan Iskandar Puteri kepada Kementerian Pengangkutan, selain mempertimbang untuk menambah jajaran di Pasir Gudang.

Bagaimanapun, Mohamad Fazli berkata cadangan bagi jajaran baharu di Pasir Gudang belum diangkat kepada pihak kementerian setakat ini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Johor menunggu kira-kira setahun bagi memperoleh kelulusan projek itu walaupun kajian telah dibuat dengan pertimbangan kos pelaksanaan lebih rendah berbanding Projek Transit Aliran Ringan (LRT).

“Ketika itu, selain kita lihat kos pembinaannya boleh dipertimbangkan (lebih rendah), waktu pembinaan juga mungkin lebih singkat berbanding LRT sekali gus mempercepat proses berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Fazli mengulangi harapan agar Kerajaan Persekutuan segera meluluskan projek itu sekali gus menyokong operasi RTS Link.

Beliau berkata kelewatan pelaksanaan dijangka menyebabkan Iskandar Puteri mengalami kesesakan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Sebelum ini, Mohamad Fazli berkata anggaran kos keseluruhan bagi penyediaan infrastruktur LRT di Johor menelan belanja RM16.7 bilion berbanding projek ART yang hanya membabitkan kira-kira RM7 bilion.

Pada Disember lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kelulusan bagi projek ART sedang dalam perbincangan, dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Loke berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi turut mengadakan perbincangan berhubung perkara itu.

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail juga bertitah dan menzahirkan kebimbangan terhadap masalah kesesakan lalu lintas yang bakal timbul apabila RTS Link beroperasi serta projek ART yang belum dilaksanakan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan