AM > BERITA

Kerajaan Pertingkat Tindakan Terhadap Penipuan Dalam Talian Melalui ONSA - Fahmi

21/02/2026 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Kementerian Komunikasi menegaskan komitmen untuk membanteras taktik penipuan dalam talian yang semakin berleluasa di platform media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), yang berkuat kuasa 1 Jan lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pada masa ini, pendekatan regulatory sandbox atau medan ujian regulatori sedang dijalankan bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial termasuk had umur bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya akta itu.

“ONSA terpakai kepada platform-platform dan sekiranya mereka terus membenarkan kejadian seperti deepfake AI, penipuan pelaburan serta judi dalam talian maka denda yang besar boleh dikenakan antara RM1 juta hingga RM10 juta. 

“Kita beri mereka sedikit masa untuk memastikan mereka faham segala tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall di sini hari ini.

Beliau berkata selain memastikan ekosistem digital yang selamat, pelaksanaan itu penting bagi mengekang aktiviti jenayah termasuk penipuan dan penyebaran kandungan yang memudaratkan perkembangan mental kanak-kanak.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis sindiket penipuan yang menjanjikan pulangan besar dengan modal kecil, dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tawaran pelaburan di platform media sosial.

Mengenai program hari ini, Fahmi menyambut baik inisiatif penganjur yang melibatkan kira-kira 20 reruai produk kebudayaan serta kesenian dari Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi memberikan tumpuan penuh kepada industri kreatif merangkumi muzik, animasi dan filem termasuk yang telah pun berjaya dieksport ke pasaran Indonesia seperti Upin dan Ipin serta Papa Zola. 

“Saya percaya dengan sokongan yang dapat kita beri, termasuk melalui agensi-agensi seperti Finas, MyCreative Ventures dan banyak lagi, lebih banyak produk industri kreatif Malaysia dapat kita bawa ke peringkat Asia Tenggara dan seterusnya ke seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan