AM > BERITA

Laksa Rahmah Kekal RM1 Sebungkus Jadi Tumpuan

22/02/2026 05:16 PM

BATU PAHAT, 22 Feb (Bernama) -- Ketika kebanyakan peniaga di bazar Ramadan menyesuaikan harga jualan mengikut peningkatan kos bahan mentah, seorang penjual laksa di Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Pesta di sini masih mengekalkan harga RM1 sebungkus.

Mohamad Sufi Yusoff, 53, berkata mengekalkan harga sejak mula berniaga di bazar Ramadan pada 2006 dengan hasrat membantu golongan berpendapatan rendah selain berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat.

Lelaki itu mengakui kenaikan harga bahan mentah, khususnya ikan selayang yang menjadi bahan utama membuat kuah laksa memberi kesan kepada margin keuntungan, namun kepuasan membantu orang ramai mengatasi pertimbangan keuntungan semata-mata.

“Kira-kira 20 tahun lepas kebanyakan makanan dijual pada harga RM1 sebungkus. Keadaan kini berbeza, namun saya memilih untuk mengekalkan harga walaupun pernah terfikir untuk menaikkannya.

“Saya turut menawarkan laksa pada harga RM3 dan RM4 sebungkus. Bagaimanapun laksa RM1 kekal menjadi pilihan utama dengan jualan melebihi 500 bungkus sehari sepanjang Ramadan,” katanya kepada Bernama.

Mohamad Sufi berkata anaknya Siti Nurfatin Naqiyah, 26, yang membantunya sejak berusia enam tahun, Siti Nurfatin Nazurah, 21, dan Muhammad Aqif Naqiyudin, 17, sering diingatkan bahawa perniagaan bukan sekadar mengejar keuntungan sebaliknya juga berkaitan berkongsi rezeki dan prihatin terhadap pelanggan.

Sementara itu, Mohamad Sufi menyambut baik pelaksanaan BRR yang menggalakkan peniaga menawarkan juadah pada harga Rahmah, iaitu RM5 dan ke bawah bagi meringankan beban pengguna.

Lelaki itu berkata peniaga masih boleh mengekalkan menu utama pada harga pasaran dan dalam masa sama menyediakan menu sampingan pada harga lebih berpatutan selaras dengan saranan kerajaan.

“Dengan perancangan yang baik, tiada isu untuk peniaga menyediakan pilihan harga Rahmah. Yang penting, kita bijak menyesuaikan kos dan saiz hidangan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan