Oleh Habsah Ismail
KOTA BHARU, 23 Feb (Bernama) -- Dentuman gendang dan gemersik simbal mungkin lazimnya bergema tatkala sambutan Tahun Baharu Cina, namun bagi anggota Pertubuhan Kebudayaan dan Kesenian Xiang Long Kelantan, rentak itu tidak pernah benar-benar terhenti.
Meskipun perayaan sudah berlalu, kumpulan tarian singa itu terus menerima undangan bagi mengadakan persembahan hampir setiap hari termasuk di kediaman persendirian, premis perniagaan dan majlis rasmi, menjadikan seni warisan berkenaan terus hidup serta dekat di hati masyarakat setempat.
Timbalan Pengerusi pertubuhan itu, Lee Her Shin berkata tempahan kebiasaannya dibuat sebulan lebih awal, namun ada juga pelanggan yang membuat panggilan dua minggu sebelum persembahan.
Beliau mengusahakan kumpulan itu bersama empat adik-beradiknya, meneruskan legasi mendiang bapa mereka, Lee Kin Khoon atau Tok Guru, yang meninggal dunia pada hari ke-10 Tahun Baharu Cina pada 2019.
Her Shin berkata satu pasukan asas terdiri daripada lapan anggota iaitu dua penari singa, seorang pemain gendang, empat pemain simbal dan seorang pemain gong manakala persembahan berskala besar boleh melibatkan sehingga 20 orang termasuk pembawa watak dewa dan Buddha berkepala besar.
"Kumpulan itu memiliki kira-kira 15 kepala singa dengan pelbagai saiz, diperbuat daripada rangka buluh atau rotan serta bahan khas lain," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata terdapat dua aliran utama tarian singa iaitu Heshan dan Foshan, dengan perbezaan dari segi pendekatan serta gaya persembahan.
"Dalam pertandingan tradisional, tempoh persembahan dihadkan sekitar 10 minit manakala kategori akrobatik di tiang tinggi mempunyai sistem penilaian berbeza dan berisiko tinggi," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial