AM > BERITA

Gempa Bumi Sabah: Penduduk Kongsi Detik Cemas Gegaran 10 Saat

23/02/2026 11:11 AM

KOTA KINABALU, 23 Feb (Bernama) -- Gegaran gempa bumi yang melanda perairan Kota Kinabalu selama 10 saat tengah malam tadi mencetuskan keadaan panik dalam kalangan penduduk di sekitar daerah itu dan Putatan.

Pemandu e-Hailing Jalius Majin, 45, berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di ruang tamu di rumahnya di tingkat lima Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan.

Beliau berkata keadaan yang pada mulanya tenang bertukar cemas apabila sofa yang didudukinya secara tiba-tiba bergoyang dengan kuat, disusuli bunyi derakan pada dinding dan bumbung bangunan.

“Gegaran itu berlaku dalam tempoh lebih kurang 10 saat tetapi terasa sangat lama. Kipas siling di ruang tamu berayun laju dan bingkai gambar bergegar. Ini adalah gempa bumi agak kuat berbanding yang pernah kami rasa sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau yang menyedari bahaya itu segera mengejutkan isteri dan tiga anak mereka yang sedang nyenyak tidur, sebelum mereka sekeluarga bergegas turun menggunakan tangga kecemasan menuju ke kawasan tempat letak kereta.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 menggegarkan perairan Kota Kinabalu di sini pada 12.57 tengah malam tadi namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Pembantu klinik Clarice Eve Mojigoh, 28, yang tinggal bersama ibunya di tingkat enam perumahan sama pula berkata beliau baru sahaja mahu melelapkan mata selepas pulang bekerja.

Beliau tersedar apabila mendapati pintu almari pakaian di biliknya terbuka dengan sendiri akibat pergerakan bangunan.

“Cermin tingkap pun bergegar dan saya rasa pening kerana terhoyong-hayang. Terus saya dapatkan ibu dan membawanya turun ke bawah,” katanya, yang hanya sempat membawa bersama lampu suluh dan telefon bimbit.

Sementara itu, pekerja syarikat pembersihan Md Zamri Yusof, 32, berkata detik cemas tengah malam tadi berlaku ketika beliau baru sahaja selesai mengunci pintu stor simpanan peralatan di sebuah blok komersial di Aeropod, Tanjung Aru di sini.

Pada awalnya, beliau menyangka rasa pening dan berpusing yang dialaminya berpunca daripada keletihan melampau selepas bekerja syif malam, namun sangkaannya meleset sama sekali apabila menyedari lantai koridor tempatnya berdiri mula berayun.

“Gegaran itu berlarutan sekitar 10 saat tetapi ayunannya membuatkan saya terpaksa berpaut pada besi penghadang koridor. Saya nampak pintu gulung besi (roller shutter) premis di sepanjang tingkat itu bergegar dan mengeluarkan bunyi berkeriut yang bising,” katanya.

Menyedari ancaman gempa bumi yang agak kuat itu, Md Zamri tanpa berfikir panjang terus membatalkan niatnya untuk menggunakan lif dan berlari turun menyelamatkan diri melalui tangga.

Gegaran itu rata-rata dirasai penduduk di kawasan Kota Kinabalu dan kawasan sekitar, terutamanya yang tinggal di bangunan bertingkat.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan