AM > BERITA

Lebih 51,000 Pekerja Terima Manfaat Gaji Progresif Hingga 31 Dis - Khairul Firdaus

23/02/2026 12:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Negara hari ini diberitahu bahawa 51,363 pekerja telah menerima manfaat di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 31 Dis tahun lepas,

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata dalam tempoh sama,  daripada 5,910 majikan yang memohon menyertai inisiatif itu, 83.4 peratus atau 4,025 majikan telah melaksanakan kenaikan gaji mengikut syarat insentif DGP.

Beliau berkata sektor tertinggi yang mengemukakan tuntutan insentif DGP ialah perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, masing-masing 26.7 peratus, diikuti industri pembuatan (15.7 peratus), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (11.1 peratus) serta pendidikan (7.4 peratus).

“Dari segi keberkesanan, DGP berjaya meningkatkan gaji median pekerja setakat 31 Dis 2025, khususnya bagi pekerja peringkat permulaan yang bekerja dalam tempoh 12 bulan, dengan kenaikan sebanyak RM300 daripada RM1,900 kepada RM2,200, iaitu peningkatan 16 peratus.

“Bagi pekerja yang bekerja melebihi 12 bulan, gaji median meningkat RM238.85 kepada RM2,999.15, iaitu sekitar 11 peratus, sekali gus membuktikan pendekatan kerajaan bukan sahaja memberi galakan kepada majikan, malah meningkatkan motivasi dan produktiviti pekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai keberkesanan pelaksanaan gaji progresif dan tahap pematuhan sektor swasta pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara. 

Menjawab soalan tambahan Senator Dr Wan Martina Wan Yusof pula, Khairul Firdaus mengakui terdapat cabaran sepanjang dua tahun pelaksanaan DGP, termasuklah kesukaran majikan melaksanakan kenaikan gaji minimum enam peratus, kadar pematuhan latihan yang masih rendah dalam kalangan majikan kecil serta kekurangan pendedahan mengenai kaedah permohonan dan penggunaan platform latihan dalam talian.

Beliau berkata DGP yang mula diperkenalkan melalui projek rintis dari Jun hingga Ogos 2024 dengan peruntukan RM50 juta sebelum dilaksanakan sepenuhnya, memerlukan peruntukan sebanyak RM300 juta yang dijangka memanfaatkan lebih 50,000 pekerja sehingga 2027, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2025. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan