AM > BERITA

LKAN: Kelewatan Projek Naik Taraf Bangunan UKM Jejaskan Operasi Penyelidikan

23/02/2026 05:12 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Projek menaik taraf dua blok Bangunan Sains Biologi dan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Bangi yang terjejas akibat serangan kulat telah menjejaskan kelangsungan aktiviti penyelidikan di universiti itu.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 menyatakan kegagalan menyiapkan projek mengikut jadual telah menyebabkan peningkatan kos sebanyak RM3.04 juta serta kos tambahan RM1.81 juta, di samping memberi kesan kepada prestasi 251 projek penyelidikan UKM bernilai RM41.06 juta.

Kedua-dua blok bangunan berkeluasan 39,284 meter persegi yang dibina pada 1980 berada dalam keadaan kritikal dan tidak selamat diduduki susulan masalah kulat yang serius sejak 2010, menyebabkan fasiliti tersebut ditutup dan tidak digunakan sejak 2020.

“Projek menaik taraf bangunan dan fasiliti berisiko kesihatan bernilai RM43.28 juta itu dilaksanakan di bawah kategori Pemulihan, Pemuliharaan, Ubah Suai dan Naik Taraf (PPUN) secara design to cost, dengan tempoh kontrak asal dari 12 April 2023 hingga 7 Okt 2025.

“Bagaimanapun, projek berkenaan telah diluluskan lanjutan masa (EOT) selama 15 bulan dan kini dijangka siap pada 6 Jan 2027, susulan kelewatan pelantikan subkontraktor mekanikal dan elektrikal serta penambahan skop kerja selepas penilaian tapak dijalankan,” menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Audit mendapati projek itu menerima 11 Arahan Perubahan Kerja (APK) dengan tambahan kos RM3.04 juta, manakala kemajuan fizikal hanya mencapai 34 peratus setakat Oktober 2025.

Kerja rawatan kulat di Bangunan P13 Sains Kimia masih belum dilaksanakan, manakala Bangunan P15 Sains Kimia belum diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana masih digunakan bagi keperluan pengajaran dan pembelajaran.

“Kerosakan ini menyebabkan UKM menanggung kos tambahan RM1.81 juta bagi sewaan makmal luar, naik taraf ruang dewan, penyimpanan sampel serta penggantian aset dan perabot bagi memastikan 251 projek penyelidikan bernilai RM41.06 juta dapat diteruskan.

“Sebanyak 27 projek penyelidikan berjumlah RM3.09 juta diberikan lanjutan masa antara enam hingga 21 bulan bagi memastikan kelangsungan projek, manakala 63 aset penyelidikan dan pembangunan (R&D) bernilai RM0.72 juta perlu dipindahkan ke lokasi lain,” menurut laporan itu.

Dalam maklum balas kepada audit, Kementerian Kewangan mencadangkan penubuhan jawatankuasa atau platform di peringkat kementerian bagi meneliti projek bermasalah di bawah kementerian.

JKR pula memaklumkan tambahan kos projek diperlukan berikutan penambahan skop kerja, dengan permohonan kenaikan kos dibuat kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan UKM, serta sebahagian peruntukan tambahan telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi.

UKM dalam maklum balasnya memaklumkan penutupan makmal utama menjejaskan produktiviti penyelidikan, dengan lebih 40 peratus sasaran penerbitan belum dapat dicapai setakat Oktober 2025, selain menyukarkan pengambilan pelajar baharu dan menjejaskan kualiti hasil penyelidikan.

Menurut UKM, pihaknya sedang melaksanakan pengosongan secara berfasa selari dengan penyediaan makmal sementara oleh JKR dan akan menyerahkan Bangunan P15 kepada JKR apabila penempatan alternatif sedia dan selamat digunakan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan