KOTA KINABALU, 23 Feb (Bernama) -- Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 yang menggegarkan perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi merupakan fenomena mengejutkan dan jarang berlaku di negeri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah) Prof Datuk Dr Ramzah Dambul berkata fenomena itu disifatkan sedemikian kerana ia berlaku di luar zon aktif utama Lingkaran Api Pasifik.
Beliau yang juga pakar klimatologi dan perubahan iklim berkata selain itu, gempa bumi dengan skala magnitud setinggi itu adalah fenomena ‘luar biasa’ kerana hanya pernah berlaku di kawasan berkenaan lebih 100 tahun atau seabad yang lepas.
"Secara geologi, pelantar benua di anjung Laut China Selatan Borneo sebenarnya berada di pinggir plat tektonik Eurasia dan Filipina, yang bermaksud kawasan ini secara semula jadinya memang stabil daripada sebarang aktiviti seismik yang ganas.
"Tenaga daripada pergerakan kerak bumi yang besar lazimnya dilepaskan di sepanjang Lingkaran Api Pasifik tetapi kali ini tenaga itu dilepaskan di zon yang jarang aktif, ibarat rumah yang selalu sunyi tiba-tiba berdentum," katanya kepada Bernama.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi itu yang melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi, tidak membawa sebarang ancaman tsunami.
Pusat gempa itu terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di negeri berkenaan selain Sarawak serta Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Ramzah berkata kerak bumi sentiasa 'hidup' dengan plat tektonik yang bergerak beberapa sentimeter setiap tahun, menyebabkan tekanan terkumpul secara perlahan-lahan dan senyap.
Ditanya adakah fenomena ini akan berlaku lagi di Sabah, beliau berkata sehingga kini belum ada sebarang petanda mahupun teknologi sains mampu meramal bila tekanan terkumpul itu dilepaskan sebagai tenaga, berbeza dengan fenomena cuaca seperti taufan dan ribut siklon yang boleh diramal lebih awal.
Justeru, beliau mengingatkan rakyat Sabah agar menjadikan insiden gempa bumi yang agak hampir dengan negeri itu sebagai satu refleksi penting.
"Kita selalu berasa selamat kerana tidak berada tepat di wilayah Lingkaran Api tetapi hakikatnya kita tetap berjiran kepada sistem bumi yang amat dinamik.
"Alam tidak pernah benar-benar statik. Kesedaran inilah yang paling penting, iaitu kestabilan itu bukan sesuatu yang kekal dan segalanya boleh berubah dalam cuma sedetik," tambahnya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah ketika dihubungi mengesahkan keadaan pada masa ini terkawal dan pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian gempa bumi itu.
“Pemantauan dan rondaan masih dilakukan bagi memastikan keselamatan orang awam serta keadaan persekitaran berada dalam keadaan selamat dan terkawal," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial