AM > BERITA

Istana Pahang Kesan Akaun Facebook Palsu, Jana Video AI Menyerupai Al-Sultan Abdullah

23/02/2026 08:35 PM

KUANTAN, 23 Feb (Bernama) -- Istana Pahang menafikan dakwaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menawarkan bantuan wang kerajaan kepada orang ramai menerusi media sosial. 

Menerusi hantaran Facebook Kesultanan Pahang, Istana Pahang memaklumkan telah mengesan kembali penularan beberapa klip video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Al-Sultan Abdullah dan didakwa menawarkan tawaran bantuan kepada rakyat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan,” menurut hantaran itu. 

Hantaran itu turut memaklumkan Sultan Pahang tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang di Facebook yang memiliki kira-kira 758,000 orang pengikut ketika ini. 

“Di platform media sosial lain seperti instagram, TikTok dan Youtube hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my,” menurut hantaran itu. 

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan